TAPEM sasar Melaka atasi rekod cemerlang Terengganu

Masa Membaca:2 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 24 November – Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) mengatur langkah bagi memastikan tahap kecemerlangan pelajar di negeri ini terus meningkat dan mampu bersaing dengan negeri-negeri cemerlang seperti Terengganu.

Pengurus Besar TAPEM, Senator Datuk Mustafa Musa berkata, pelbagai inisiatif telah dan sedang dilaksanakan Kerajaan Negeri bagi memastikan pelajar menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) mencapai kecemerlangan.

Menurutnya, untuk tahun 2023 sahaja, peruntukan lebih RM1 juta telah disalurkan bagi menganjurkan pelbagai program kecemerlangan akademik membabitkan peringkat daerah dan sekolah-sekolah.

“Pelbagai inisiatif telah kita laksanakan dan ada di antaranya sedang direncana bagi memastikan kemenjadian pelajar ini berjaya melakar kecemerlangan menerusi pelbagai program antaranya pecutan akhir, teknik menjawab soalan, motivasi dan jati diri serta pelbagai lagi.

“Kita mahu melihat lonjakan saujana ini berlaku dalam kalangan pelajar sekolah dan kita berharap jika dahulu Melaka tidak dapat menandingi negeri-negeri hebat kali ini kita menaruh harapan bahawa negeri ini mampu menjadi nombor satu mengalahkan rekod yang dikekalkan bertahun-tahun oleh negeri-negeri lain seperti Terengganu.

“Maka untuk itu, Kerajaan Negeri mengatur langkah mengambil pelbagai pendekatan dan inisiatif membantu pelajar sekolah sebaik mungkin dengan kepakaran yang ada daripada Jabatan Pendidikan Negeri dan pihak-pihak yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Perasmian Penutup Program Sentuhan Kasih Ketua Menteri Melaka CARE SPM STPM 2023 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Universiti Multimedia Melaka, di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET, Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Melaka, Datin Wira Siti Rohaya Kamaluddin dan Pengarah Pendidikan Negeri Melaka, Ghazali Ahmad.

Photo1700741971
ANTARA pelajar sekolah yang hadir pada Majlis Perasmian Penutup Program Sentuhan Kasih Ketua Menteri Melaka, Care SPM dan STPM 2023 di Dewan Universiti Multimedia (MMU), Bukit Beruang. Foto: MR. AZLI

Menerusi program berkenaan, Mustafa berkata lebih 13,000 calon SPM, STPM dan STAM telah melibatkan diri bagi mempersiapkan diri dalam pecutan terakhir sebelum menduduki peperiksaan tersebut.

Katanya, program bermanfaat itu akan menjadi antara anjuran berterusan pihaknya, selain berhasrat mengembangkan usaha itu menerusi jalinan kerjasama bersama beberapa agensi dan syarikat di negeri ini. .

Katanya, program yang dianjurkan itu telah memasuki tiga fasa hasil kerjasama dengan Pejabat Pendidikan Daerah di negeri ini dengan peruntukan awal sebanyak RM700,000 disalurkan Kerajaan Negeri menerusi Bajet 2023 Negeri Melaka.

“Pada fasa pertama ia dijalankan pada peringkat PPD di mana setiap daerah akan menghantar 500 pelajar cemerlang untuk mengikuti program Sentuhan Kasih ini dan diikuti pada fasa kedua diadakan di semua sekolah di Negeri Melaka.

“Pada fasa ketiga ini, Ketua Menteri telah menyumbangkan sebanyak RM50,000 manakala sebanyak RM143,000 turut disumbangkan beliau bagi memfokuskan program Sentuhan Kasih STAM yang diadakan di Kem Permata Resort, Alor Gajah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

598
Kongsi :
Previous post Isu Pangsapuri Sutera Wangi akan diangkat ke peringkat KPKT
Next post PBT Melaka cemerlang – KM
Ubah saiz-+=