PBT Melaka cemerlang – KM

Masa Membaca:2 Minit, 46 Saat

AYER KEROH 24 November – Pencapaian dan pengiktirafan dari dalam serta luar negara yang diterima sepanjang 2023 membuktikan keempat-empat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Negeri Melaka sebagai institusi yang cemerlang, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Lebih membanggakan kata Ketua Menteri, kejayaan itu menjadikan kesemua PBT di Negeri Melaka berjaya mengekalkan status Bandar Mampan selama 14 tahun berturut-turut dari tahun 2008 sehingga kini

Ketua Menteri berkata, ia turut menjadi indikator kepada komitmen selain usaha berterusan PBT dalam menyediakan perkhidmatan yang terbaik dan efisien kepada rakyat, juga dalam aspek-aspek lain yang patut disediakan.

Malah beliau menghargai PBT yang dianggap sebagai institusi sangat penting yang menjadi jambatan antara kerajaan dan rakyat.

“Oleh kerana Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) adalah tuan rumah majlis pada kali ini, maka suka saya kongsikan terlebih dahulu beberapa pencapaian yang telah diraih oleh MPHTJ sepanjang tahun 2023 ini, antaranya merangkul Anugerah Standard Pelancongan Asean (Asean Tourism Standard) Tahun 2023-2025 dan Diamond Recognition Award Status Perbandaran Rendah Karbon.

“Saya juga mengucapkan tahniah kepada MPHTJ kerana berjaya menerbitkan Manual Pelaksanaan Melaka Industrial Booster (MIB) MPHTJ yang telah dipersetujui oleh Majlis Penuh MPHTJ pada 27 Oktober 2023.

“Idea penerbitan MIB ini adalah hasil daripada resolusi program Amanat YAB Ketua Menteri Bersama Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan pada 19 September 2023,” kata ketua menteri ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan negeri Melaka November 2023 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin, barisan Exco, Timbalan Exco, ketua jabatan serta agensi Kerajaan Negeri.

Selain itu Ab Rauf turut mengucapkan tahniah kepada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) kerana berjaya memenuhi kriteria dan terpilih mewakili Malaysia ke peringkat Asean bersama-sama dengan Perbadanan Putrajaya dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang sebagai penerima Anugerah ASEAN Clean Tourist City Standard (2024-2026) di Vientiane, Laos pada 26 Januari 2024 nanti yang bersempena Asean Tourism Forum 2024 (ATF 2024).

“Tahniah Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman serta seluruh warga MBMB. Anugerah anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) ini perlu memenuhi tujuh kriteria iaitu pengurusan alam sekitar, pengurusan sisa, kebersihan persekitaran di kawasan awam, penjagaan alam sekitar, kawasan hijau, keselamatan dan kesihatan serta penguatkuasaan dan infrastruktur kemudahan pelancongan.

“Anugerah ini merupakan pengiktirafan terhadap perancangan dan visi Kerajaan Negeri Melaka yang sentiasa mengutamakan aspek kebersihan, keindahan dan keceriaan, bukan sahaja di Bandaraya Melaka, malah di seluruh negeri dalam usaha kita menggamit tetamu tempatan dan antarabangsa untuk menjadikan Melaka sebagai destinasi pelaburan dan pelancongan yang utama di dunia.

“Sempena ATF 2024, MBMB bersama-sama dengan Baba House Melaka juga telah terpilih mewakili Malaysia di peringkat Asean bagi Anugerah Asean Sustainable Tourism Standard (Gastronomy),” katanya.

Menurutnya, selain itu tiga MBMB, MPHTJ dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) juga telah menerima pengiktirafan untuk Penarafan Malaysia Sustainable Development Goals (SDG) Cities dan Penarafan Early Adopter Bandar Pintar Malaysia daripada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta diiktiraf sebagai PBT Cemerlang untuk Kempen Kesihatan Persekitaran.

“Terakhir, Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) turut berjaya merangkul Anugerah Pasar Awam Bersih (Pasar Awam Nyalas) PBT Cemerlang Kempen Kesihatan Persekitaran KPKT 2023,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1213
Kongsi :
Previous post TAPEM sasar Melaka atasi rekod cemerlang Terengganu
Next post MIB mudahkan urusan pelabur – KM
Ubah saiz-+=