Sorting by

×

Jabatan Pendidikan Melaka bimbang lebih 1,200 calon SPM gagal hadir ke sekolah

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

AYER KEROH 25 Sept. – Jabatan Pendidikan negeri melahirkan kebimbangan apabila merekodkan tidak sampai 90 peratus kehadiran calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke sekolah selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Pengarahnya Dr. Mohd Azam Ahmad berkata, sekiranya perkara ini dibiarkan berlarutan ia bukan sahaja memberi impak kepada calon itu sendiri malah mengganggu pelan tindakan yang diatur oleh pihaknya sebagai langkah persediaan menghadapi peperiksaan yang dijangka pada awal Januari depan.

Beliau berkata, sememangnya pandemik Covid-19 memberi kesan kepada calon SPM 2020 berbanding tahun sebelumnya, oleh itu pihaknya telah merangka pelan tindakan serta modul bagi memastikan kesemua calon dapat mempersiapkan diri sepenuhnya.

“Pada Ogos kita merekodkan hanya 85.94 peratus pelajar tingkatan lima yang hadir ke sekolah dan ini menunjukkan lebih 1,200 orang tidak hadir ke sekolah daripada jumlah keseluruhan seramai 11, 559 calon dibawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Ia secara tidak langsung akan mempengaruhi keberkesanan dan mengganggu pelan tindakan yang dirancang malah yang amat membimbangkan kami termasuk Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah ialah pelajar-pelajar ini tidak dapat menduduki SPM dengan sempurna,” katanya.

Beliau berkata, usaha dilakukan JPN hanya sia- sia sekiranya pihak lain khususnya ibu bapa dan masyarakat setempat tidak memberi kerjasama dalam membendung isu tidak kehadiran pelajar ke sekolah.

“Pihak jabatan berharap agar ibu bapa, masyarakat dapat bersama-sama untuk memastikan murid-murid Tingkatan lima ini terus hadir ke sekolah sebab kita sudah mengatur beberapa pelan termasuk modul dan ‘mindscapping’.

“Fokus kita tahun ini memberi perhatian khusus untuk memastikan pelajar Tingkatan lima dapat terus belajar dan seterusnya dapat menduduki SPM dengan mantap,” katanya.

Mohd Azam berkata, pihaknya ada menerima maklumat yang mana terdapat pelajar Tingkatan lima yang tidak hadir ke sekolah, tetapi berada di rumah sehubungan itu pihaknya berharap agar ibu bapa dapat memainkan peranan dalam membantu memastikan kehadiran anak mereka ke sekolah.

Views:

449
Kongsi :
Previous post Peniaga nasi lemak tidak mengaku dera kanak-kanak
Next post Kerajaan negeri sumbang RM540,000 kepada e-Kasih untuk carum i-Suri
Ubah saiz-+=