Peniaga nasi lemak tidak mengaku dera kanak-kanak

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

ALOR GAJAH 25 Sept. – Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Gajah, di sini, hari ini, atas pertuduhan mendera anak kenalannya.

Tertuduh berusia 40 tahun membuat pengakuan itu sejurus dua pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah dihadapan Hakim Ahmad Sazali Omar.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan niat bersama seorang lagi masih bebas sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan seorang kanak-kanak perempuan berumur enam tahun telah mengabaikan atau mendedahkan kanak-kanak itu dengan cara mungkin mengalami kecederaan fizikal.

Justeru dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak- Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50, 000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Manakala, bagi pertuduhan dibawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan, tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas dengan sengaja menyebabkan cedera dengan menggunakan sebatang kayu sehingga menyebabkan mangsa patah tangan kiri.

Kesemua kesalahan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Taman Seri Paya Rumput, Masjid Tanah, antara jam 8 pagi hingga 12 tengah malam antara Mei hingga September 2020.

Prosiding pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Arthana Sarma Rao tidak mencadangkan sebarang jaminan kerana mangsa masih kanak- kanak.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam kemudian merayu agar diberi jaminan dengan alasan mempunyai lima anak termasuk dua menghidap talasemia dan asma.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 26 Oktober depan tarikh sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Views:

270
Kongsi :
Previous post Ibu bapa disaran perangi jenayah siber
Next post Jabatan Pendidikan Melaka bimbang lebih 1,200 calon SPM gagal hadir ke sekolah
Ubah saiz-+=