‘Jadi sukarelawan MyVac lebih seronok daripada jaga kedai’

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

BATU BERENDAM 2 Julai – “Jadi Sukarelawan Pembantu Vaksin Malaysia (MyVac) lebih seronok daripada menjaga kedai runcit kerana saya berpeluang berbakti sesama manusia.

“Walaupun ada yang bercakap kasar, saya terima dengan sabar kerana yang lebih penting saya ikhlas semata-mata untuk membantu penerima vaksin berjuang menentang pandemik COVID-19,” kata Mohd Naquib Mohd Nordin, 29.

Mohd Naquib berkata, dia menyertai MyVac kerana tertarik dengan program membantu anggota komuniti,terutama warga emas untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 dan menyifatkan tugas itu sebagai amal jariah

“Sebelum ini saya menjaga kedai runcit milik orang tua saya di Taman Krubong Jaya tetapi apabila mendapati kerajaan memerlukan sukarelawan, saya menawarkan diri.

“Sejak bertugas sebulan lalu, pelbagai karenah penerima vaksin terpaksa saya hadapi, termasuk mereka yang bercakap dengan nada tinggi tetapi saya sudah lali kerana mereka kurang faham keadaan di sini,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Composite Technology Research Malaysia Sdn Bhd (CTRM), di sini, semalam.

ATIRA Dalila.

Atira Dalila Abdul Rahman, 20, pula berkata, ketika mula bertugas sebulan lalu, dia agak sukar menerima sesetengah penerima vaksin yang bercakap dalam nada keras tetapi lama-kelamaan dia mampu menerimanya.

“Saya tidak mahu perkara seumpama itu menghalang semangat saya untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada penerima vaksin.

“Biarlah apa yang ingin mereka kata kerana saya amat faham, mereka terpaksa bersusah payah keluar dari rumah masing-masing semata-mata untuk hadir di dewan ini menerima suntikan,” katanya.

Penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Seremban itu berkata, setiap kali memberikan perkhidmatan membantu warga emas, dia membayangkan membantu ibu bapanya sendiri dan berusaha sebaik mungkin untuk menggembirakan mereka dengan ayat yang lembut dan sopan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

601
Kongsi :
Previous post Lebih 5 tan sampah dikutip setiap minggu di Sungai Melaka
Next post Pemandu 4×4 maut kenderaan dirempuh treler
Ubah saiz-+=