Jaga empat adik selepas ibu meninggal dunia akibat COVID-19

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

KUALA LINGGI 11 Ogos – “Arwah ibu selalu pesan jika dia tiada saya mesti jaga empat adik dengan baik dan memastikan mereka menjadi insan yang faham agama dan berguna kepada semua orang,” kata Siti Hajar Nor Azlan, 23.

Pada usia muda, dia bukan saja perlu memelihara bayi berusia lima bulan, malah empat adik selepas ibu mereka, Azizah Ismail, 48, meninggal dunia akibat jangkitan COVID-19, semalam,

Empat adiknya, Siti Norjannah, 10, Siti Mariam, 14, Mohd Azizul, 19, dan Mohd Azizan, 20,  kini di bawah tanggungjawabnya selepas mereka turut kehilangan bapa akibat serangan jantung pada 2014.

Azizah berkata, arwah ibu disahkan positif COVID-19 selepas menjalani ujian calitan di sebuah klinik swasta di pekan ini pada 2 Ogos lalu.

Allahyarham Azizah.

“Saya membawa ibu ke Hospital Alor Gajah tetapi doktor memindahkannya ke Hospital Melaka pada 3 Ogos berikutan kadar oksigen dalam tubuh semakin berkurangan.

“Saya, suami dan empat adik terpaksa memakai gelang merah jambu dan menjalani kuarantin kendiri mulai 6 Ogos lalu hingga 19 Ogos ini,” katanya ketika dihubungi di Kampung Telok Belanga, Kuala Sungai Baru, dekat sini hari ini.

Siti Hajar berkata, arwah ibunya yang bekerja sebagai pembantu kedai ikan di pantai Pengkalan Balak, di sini membuat panggilan video kepadanya pada malam Sabtu dan pagi Ahad lalu memberitahu dia ingin pulang ke rumah kerana sudah beransur sihat.

Bagaimanapun, dia terkejut dan bimbang apabila doktor menghubunginya dan menyatakan jantung arwah ibu semakin lemah dan kadar oksigen dalam tubuh semakin berkurangan pada pagi, semalam.

“Arwah Ibu dilaporkan meninggal dunia pada jam 8.41 pagi semalam dan kami tidak dapat membantu menguruskan jenazah kerana masih menjalani kuarantin.

“Semasa hayat masih ada, ibu sering berpesan supaya saya memastikan keempat-empat adik sentiasa mengutamakan solat awal waktu.

“Arwah juga mahu saya pastikan segala urusan harian dua adik yang sudah bekerja kilang dan dua yang bersekolah sentiasa teratur,” katanya.

Jenazah arwah dikebumikan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Tanah Perkubuan Islam Kampung Telok Belanga pada jam 10 malam tadi.

Sesiapa ingin ingin menghulurkan sumbangan diminta menghubungi Siti Hajar dengan menelefon 016-3643041.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

963
Kongsi :
Previous post Lebih 9 juta rakyat Malaysia lengkap divaksin
Next post Azhar Azizan nafi keluar surat kepada PM, maklum hilang majoriti
Ubah saiz-+=