JAIM ambil inisiatif kurangkan kadar penceraian

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

PENGKALAN BATU 18 Mac – Penganjuran program berbentuk pemantapan ilmu rumah tangga dan kekeluargaan islam antara inisiatif diambil Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dalam usaha menangani masalah penceraian dalam kalangan masyarakat Islam di Melaka.

Pengarah JAIM Datuk Badaruddin Mohd Kassim berkata, walaupun angka penceraian di negeri ini merekodkan penurunan berbanding tahun sebelumnya namun itu bukan sesuatu yang perlu diambil ringan.

Ini kerana menurutnya, walaupun penceraian adalah jalan terkahir yang diharuskan dalam Islam, namun setiap pasangan dinasihatkan untuk berhati-hati dan mengelak daripada bersikap terburu-buru.

“Statistik pendaftaran perceraian dan rujuk orang Islam Negeri Melaka tahun lalu merekodkan sebanyak 959 kes perceraian berbanding tahun sebelum 1,036.

“Walaupun angka tersebut menunjukkan sedikit pengurangan berbanding tahun sebelumnya ia perlu ditangani untuk kesejahteraan keluarga.

“Kita tidak nafikan, kurangnya ilmu rumah tangga juga antara punca berlakunya penceraian ini jadi sebab itu kita kena kerap mengadakan program seperti ini (kekeluargaan Islam) untuk kita memperingatkan kepada pasangan serta keluarga masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutup Program Seminar Keluarga Bahagia (Membina Keluarga Ramadan), di Auditorium Masjid Al-Azim, di sini, hari ini.

Menurut Badaruddin, antara faktor yang dikenal pasti menjadi punca utama penceraian adalah disebabkan faktor ketidaksefahaman selain sifat mementingkan diri sendiri dan ego.

“Natijah daripada penceraian ini bukan sahaja memberi tempias kepada pasangan tetapi juga memberi impak kepada zuriat yang ditanggung.

“Ini kerana anak-anak mendambakan belaian kasih sayang daripada kedua ibu bapa untuk membesar menjadi insan yang cemerlang dunia dan akhirat,” katanya.

Justeru, Badaruddin menyeru kepada semua umat Islam agar saling memupuk persefahaman di antara ahli keluarga, dan seterusnya mengikis tabiat suka membesarkan perkara remeh yang boleh menimbulkan pertelingkahan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

356
Kongsi :
Previous post Cuaca panas dijangka kekal hingga April
Next post ‘Dalam rezeki Nor, ada rezeki orang lain’
Ubah saiz-+=