JAIM patahkan usaha kumpulan ajaran sesat ke Pulau Besar

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

BUKIT PALAH 28 Julai – Tindakan pantas pihak berkuasa bersama Rakan Setia Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) berjaya mematahkan pergerakan masuk sebuah kumpulan ajaran sesat ke Pulau Besar awal bulan lalu.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Che Sukri Che Mat berkata kumpulan terbabit dikesan pihak berkuasa menerusi aktiviti risik dilakukan di Jeti Umbai.

Katanya, kumpulan ajaran sesat yang mempunyai kurang dari sepuluh orang itu bagaimanapun terpaksa membatalkan hasrat selepas pihak berkuasa bersama JAIM menghalang untuk mereka berlepas ke Pulau Besar.

“Pada awalnya kita mendapat laporan dari pasukan risik bersama Rakan Setia JAIM berkaitan kumpulan ini yang dipercayai (datang) dari luar Melaka dan ketika di Jeti Umbai, kita dapat menghalang mereka daripada berlepas.

“Kita dapat tahu kumpulan ini dipercayai menjalankan kaedah sesat dengan ‘bertawassul’ atau mengabdikan diri dengan makam-makam ini dan ketika ditanya katanya ingin ke pulau tersebut untuk aktiviti pelancongan namun dilihat mencurigakan.

“Pihak berkuasa tidak membenarkan langsung kumpulan terbabit menjejak kaki ke Pulau Besar dan mengarahkan pulang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui selepas majlis Perasmian Multaqa ulama Wal Umarak pada Sambutan Maal Hijrah dan Ekspo Hari Tamadun Islam Peringkat Negeri Melaka di Auditorium Masjid Al Azim, di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Datuk Wira Md Rawi Mahmud.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Che Sukri Che Mat

Mengulas lanjut, Che Sukri berkata setakat tahun ini tiada kes yang direkodkan mengenai pusat ajaran sesat di negeri ini.

Namun beliau memberi amaran untuk mana-mana pihak yang ingin melakukan aktiviti khurafat di Pulau Besar atau di mana-mana lokasi dalam negeri ini untuk tidak berbuat demikian.

“Saya beri amaran keras untuk sesiapa yang ingin menjalankan aktiviti seleweng agama atau khurafat ini di Pulau Besar khususnya, kerana pasukan risik dan Rakan Setia JAIM berada di mana-mana di seluruh negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2588
Kongsi :
Previous post AHM galak pembudayaan teknologi hijau
Next post Polis tahan lelaki, rampas ganja dalam kereta
Ubah saiz-+=