JAKOA proaktif yakinkan Orang Asli terima vaksin

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

AYER KEROH 8 Jun – Pelbagai pendekatan dilaksanakan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Melaka bagi memastikan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) diterima oleh masyarakat itu di negeri ini.

Pegawai Kemajuan Orang Asli Daerah Alor Gajah dan Jasin, Adzrien Ab. Rahim berkata, antara usaha dibuat termasuk mengadakan taklimat sejak April lalu dan akan diperluaskan ke 14 perkampungan Orang Asli di Jasin dan Alor Gajah.

Katanya, program dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu setakat ini sudah dijalankan di enam perkampungan Orang Asli di Jasin dengan penyerahan borang fizikal turut dibuat berikutkan kebanyakan masyarakat itu tidak berdaftar dalam aplikasi My Sejahtera.

“Program ini dilaksanakan secara bersasar, malah pada awalnya kita turut memberi taklimat khas kepada barisan kepimpinan iaitu Tok Batin dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) sejak Mac lalu.

“Namun ia (program) terpaksa ditunda atas arahan MKN berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dalam tempoh ini.

“Hasil program turun padang dijalankan kita telah menyerahkan 469 borang, namun 275 sahaja dikembalikan dengan 183 bersetuju dan 92 orang tidak bersetuju menerima suntikan vaksin, selain selebihnya tidak dikembalikan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurutnya, berdasarkan maklumat setakat ini empat orang telah menerima dua dos suntikan iaitu tiga Orang Asli warga emas dan seorang merupakan petugas barisan hadapan yang berdaftar melalui My Sejahtera.

“Setakat April lalu hanya segelintir sahaja Orang Asli tidak mahu divaksin iaitu anak muda lingkungan 18 tahun ke atas dengan alasan khuatir jaminan terhadap suntikan vaksin, namun kebanyakannya menyambut dengan positif terhadap PICK,” katanya.

Mengulas lanjut, Adzrien berkata, bagi memastikan PICK dalam kalangan Orang Asli berjalan lancar, pihaknya menggunakan pendekatan pergi dari rumah ke rumah untuk mendaftarkan mereka.

Katanya, ketika PKP penuh ini pihaknya juga akan menyerahkan borang suntikan kepada Tok Batin atau JPKKOA untuk diedarkan kepada setiap isi rumah membabitkan lapan perkampungan di Alor Gajah dan enam di Jasin.

“Bagi menyakinkan mereka kita mempunyai tujuh kakitangan JAKOA Melaka yang sudah menerima dua dos suntikan vaksin dan boleh menceritakan kebaikan pengambilan vaksin COVID-19,” katanya.

Kelmarin, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, seramai 127,669 individu masyarakat Orang Asli di seluruh negara dikenal pasti untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 di bawah PICK.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

640
Kongsi :
Previous post 1,135,157 individu lengkapkan dua dos vaksin COVID-19 setakat semalam
Next post Kerajaan peruntuk lebih RM100 juta naik taraf SWASLA
Ubah saiz-+=