Jalan Pengkalan Balak-Padang Kemunting jadi jalan sehala

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

TANJUNG BIDARA 17 November – Jalan pesisir pantai di Balai Polis Pengkalan Balak menghala ke Padang Kemunting akan dijadikan jalan sehala pada setiap hujung minggu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, perkara itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat bagi melancarkan aliran trafik terutama pada waktu puncak.

“Sebelum ini pelaksanaan kawasan itu sebagai jalan sehala sudah dilaksanakan sebab situ memang kawasan sehala tetapi tidak dipatuhi pengguna jalan raya menyebabkan punca utama kepada kesesakan pada waktu hujung minggu.

“Dalam masa terdekat ini penguatkuasaan akan dilaksanakan oleh pihak Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) bagi mengawal lalu lintas pada hujung minggu.

“Menerusi langkah ini, kita mampu mengurangkan kesesakan dalam penguraian trafik malah sekali gus akan memberi pendidikan kepada masyakat untuk mematuhi bahawa jalan itu adalah sehala,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menghadiri sesi dialog bersama pengusaha chalet, resort dan inap desa DUN Tanjung Bidara dan Kuala Linggi di Kompleks Japerun Tanjung Bidara, di sini, hari ini.

WhatsApp Image 2022-11-17 at 18.43.04 (1)
AB RAUF

Hadir sama, Adun Kuala Linggi Rosli Abdullah; Yang Dipertua MPAG TPr. Saifuddin Abdul Karim dan lain-lain kenamaan.

Beliau yang juga Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri berkata, penguatkuasaan itu bagaimanapun hanya dijalankan pada hujung minggu sahaja bagi mengelakkan kesesakan berlaku.

“Ia akan dikawal oleh penguatkuasa pada hujung minggu sahaja manakala pada hari biasa ia boleh digunakan macam biasa,” katanya.

Terdahulu, sesi dialog itu dihadiri kira-kira 100 pengusaha pelancongan di kawasan berkenaan yang rata-ratanya mengutarakan pelbagai isu seperti sampah, jalan raya dan pelesenan.

Dalam pada itu, Ab Rauf memaklumkan, Kerajaan Negeri turut bersetuju memanjangkan tempoh pemutihan selama setahun kepada pengusaha pelancongan di DUN Tanjung Bidara dan Kuala Linggi yang masih mempunyai masalah dalam urusan penama milikan tanah serta pelesenan.

“Kita bagi tempoh setahun kepada mereka untuk menyelesaikan isu penama dan perlesenan mereka agar mereka diberi masa untuk mengemukakan pelan-pelan chalet ini dalam tempoh setahun.

“Malah jikalau dalam tempoh itu tidak mampu diselesaikan berikutan permasalahan lain seperti memakan masa untuk mengesan penama-penama mereka, Kerajaan Negeri akan menambah lagi tempoh enam bulan untuk mereka laksanakan pengesahan melalui perintah mahkamah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3102
Kongsi :
Previous post SMIC2022 jadi tapak permulaan teknologi pintar Melaka
Next post Amy Search gamatkan DUN Ayer Limau
Ubah saiz-+=