Jalur Gemilang terbalik: “Memang mereka sengaja buat” – PVATM

Masa Membaca:56 Saat

AYER KEROH 18 Ogos – Tindakan tegas perlu diambil terhadap individu yang sengaja memasang atau menggantung Jalur Gemilang secara terbalik.

Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Melaka Datuk Seri Mohamad Fazil Shafie berkata, kesalahan itu tidak sepatutnya berlaku kerana tindakan itu boleh menggugat kedaulatan serta keharmonian negara.

Ujarnya, setiap kali menjelang sambutan Hari Kebangsaan, tindakan itu seolah-olah sengaja dilakukan kerana ia kerap berlaku dan dilakukan berulang kali.

“(Tindakan itu) tidak sepatunya berlaku, memang mereka sengaja buat.

“Jadi saya harap kerajaan mengambil tindakan tegas kalau cakap sahaja tetapi tidak ambil tindakan, perkara sama akan berlaku dan dilakukan orang sama,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan Kempen Tabung Pahlawan kepada 24 pesara tentera semalam.

Mohamad Fazil berkata tindakan tegas yang dikenakan itu bagi memberi kesedaran supaya kesalahan itu bukan perkara biasa dan dilakukan secara mainan.

“Tidak mungkin bendera itu boleh terbalik sebab dari sekolah kita diajar, kalau kita tengok kita faham apatah lagi apabila melihat, mesti orang sengaja melakukannya,” katanya.

Tambahnya lagi, bertepatan dengan slogan Hari Kebangsaan 2020 iaitu Malaysia Prihatin, menjadi tanggungjawab masyarakat untuk menyampaikan sebarang salah laku atau tindakan mengenai cara pemasangan Jalur Gemilang kepada pihak berkuasa.

Views:

518
Kongsi :
Previous post APM bantu pindahkan mangsa obesiti
Next post Kerajaan negeri sumbang RM50,000 kepada SJKC Malim
Ubah saiz-+=