Kerajaan negeri sumbang RM50,000 kepada SJKC Malim

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

MALIM 18 Ogos – Atas dasar keprihatinan terhadap bencana ribut yang berlaku sehingga merosakkan bumbung Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Malim baru-baru ini, kerajaan negeri telah tampil menyampaikan sumbangan cek bernilai RM50,000.

Ketua Menteri Datuk Haji Sulaiman Md Ali berkata, pihak kerajaan negeri sentiasa mengambil berat terhadap bidang pendidikan terutamanya apabila melibatkan infrastruktur dan kemudahan di sekolah, termasuklah SJKC Malim yang terjejas.

“Kerajaan negeri melihat bahawa institusi pendidikan sebagai institusi yang melahirkan modal insan dan generasi masa hadapan yang bakal menjadi pemimpin dan tonggak pembangunan negeri dan negara pada masa depan.

“Saya yakin, sumbangan ini dapat membantu mempercepatkan lagi kerja pembaikan kerosakan supaya proses pembelajaran anak-anak kita tidak terjejas.

“Saya juga berharap anak-anak murid yang cedera akan segera sembuh dan dapat kembali meneruskan sesi persekolahan mereka.

“Setinggi-tinggi ucapan syabas juga kepada warga pendidik SJKC Malim yang bertindak pantas bagi membantu menyelamatkan murid ke lokasi selamat daripada berdepan bencana ribut tempoh hari,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Dalam lawatan ke sekolah berkenaan, Sulaiman telah menyerahkan cek sumbangan kepada Guru Besar SJKC Malim, Ho Siew Leng.

Turut hadir dalam lawatan berkenaan ialah Pengarah Pendidikan Negeri, Dr Mohd Azam Ahmad dan Timbalan Pengerusi Perhubungan MCA Melaka, Datuk Wira Koh Nai Kwang.

Views:

464
Kongsi :
Previous post Jalur Gemilang terbalik: “Memang mereka sengaja buat” – PVATM
Next post Hari Belia Peringkat Negeri Melaka bakal diadakan September
Ubah saiz-+=