‘Jangan abai nasib kami’

Masa Membaca:2 Minit, 22 Saat
Othman Ahmad (kiri) dan Mazelan Bakar (kanan). Foto Din Ahmad

KUALA LINGGI 4 Ogos – “Kami tidak menentang pembangunan tetapi biarlah nasib kami terbela kerana kami hidup sekadar kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang,” kata Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Melaka Barat (PNKMB), Mazelan Bakar.

Beliau menjelaskan, nelayan di negeri ini dan Negeri Sembilan merayu nasib mereka diberi perhatian oleh kerajaan dan syarikat pemaju projek Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) bernilai RM15 bilion di Kuala Linggi, dekat sini.

Katanya, nelayan tidak menghalang pembangunan fizikal dan ekonomi di perairan Kuala Linggi yang bakal memberi kesan bukan setakat terhadap nelayan di perairan Melaka Barat, malah perairan Melaka Selatan dan Teluk Kemang di Negeri Sembilan yang bersempadan dengan Kuala Linggi.

Beliau menegaskan, kira-kira 300 nelayan memiliki lesen menangkap ikan dalam persatuan itu amat bimbang mengenai masa depan mereka berhubung projek berkenaan.

“Projek itu akan menimbulkan kesan langsung kepada nelayan kerana pasir laut dikorek untuk ditambak menjadi pulau seluas 620 ekar (kira-kira 248 hektar) yang akan mengganggu habitat ikan dan hidupan marin yang lain.

“Kami tidak boleh menghalang kemajuan kerana ia dilaksanakan untuk pembangunan ekonomi, rakyat dan negara tetapi kami meminta agar nasib kami diberikan perhatian oleh kerajaan dan syarikat pemaju projek,” katanya di sini hari ini.

Mazelan menjelaskan, PNKMB amat berbesar hati jika dipanggil kerajaan negeri untuk berbincang dengan turut dihadiri syarikat pemaju projek berkenaan bagi memastikan masa depan nelayan terjamin.

Setakat ini, kerajaan negeri dan pemaju belum pernah mengadakan pertemuan membabitkan ketiga-tiga pihak bagi mencari kaedah terbaik memelihara kepentingan nelayan, katanya.

Khamis lalu, Mazelan dan Pengerusi Persatuan Nelayan Melaka (PNM), Othman Ahmad serta Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Sembilan (PNNS), Abu Bakar Dawam menyiapkan memorandum untuk diserahkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

Kerajaan Melaka dan Kementerian Pengangkutan serta beberapa pemimpin politik tempatan bagi menyatakan kebimbangan mereka mengenai projek berkenaan.

Pengarah Urusan KLIP, Datuk Seri Noor Mustafa Yahya dilaporkan berkata, projek itu akan dimulakan pada suku pertama tahun hadapan dan mengambil lima hingga lapan tahun bagi menambak laut seluas kira-kira 248 hektar sebelum dimajukan dengan pelbagai kemudahan berkaitan pelabuhan yang memberikan perkhidmatan kepada kapal antarabangsa.

Katanya, kerja menambak laut akan dilaksanakan Linggi Base Sdn Bhd (LBSB), selain membina tangki simpanan cecair, limbungan pembaikan kapal, limbungan fabrikasi komponen minyak dan gas serta dermaga untuk fasiliti himpitan kapal.

Sementara itu, Othman yang dihubungi berkata, projek berkenaan bukan setakat memberi kesan kepada nelayan di perairan Melaka Barat, malah Melaka Selatan berikutan perubahan arus dasar laut yang menjejaskan hasil tangkapan nelayan.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan negeri dan syarikat pemaju menyediakan ruang perbincangan bagi mewujudkan situasi menang menang antara syarikat itu dengan nelayan.

Beliau berkata, kehidupan nelayan yang sekadar kais pagi makan pagi, kais petang makan petang tidak harus dibebankan lagi dengan risiko kehilangan sumber pendapatan, sebaliknya harus dibantu menangani kos kehidupan yang kian meningkat.

Views:

410
Kongsi :
Previous post Kerajaan kaji semula cadangan Lynas teruskan R&D condisoil
Next post Jalur Gemilang berkibar di lokasi pelancongan Melaka
Ubah saiz-+=