Jangan cemari pantai Melaka dengan sampah – KM
LENDU 19 Sept. – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali menzahirkan rasa kecewa di atas sikap tidak bertanggungjawab segelintir individu yang mencemari pantai-pantai peranginan negeri ini dengan sampah.
Beliau berkata, sisa sampah yang ditinggalkan itu bukan sahaja mencemarkan pemandangan bahkan boleh merosakkan imej Melaka sebagai sebuah negeri bersih.
Justeru, beliau meminta orang ramai memanfaatkan sebaiknya kelonggaran yang diberikan kerajaan untuk aktiviti riadah, terutama dalam aspek menjaga kebersihan.
“Dahulu tiga bulan masa semua orang terkurung di rumah, pantai di negeri ini masih bersih, tetapi bila dah buka sekarang, semakin banyak sampah.
“Saya pasti, ada banyak tempat buang sampah yang disediakan pihak berkuasa tempatan (PBT) di sekitar pantai kita, jadi kepada orang ramai saya mohon berilah kerjasama.
“Janganlah menunjukkan imej dan pemandangan yang tidak baik untuk negeri ini. Ingat, kebersihan dan keceriaan negeri ini adalah tanggungjawab kita bersama,” katanya ketika ditemui selepas mengedarkan kuih bulan kepada masyarakat Tionghua di sekitar Masjid Tanah, hari ini.
Semalam, Melaka Hari Ini melaporkan, beberapa pantai di sekitar Padang Kemunting dan Pengkalan Balak dicemari dengan sampah-sarap.
Sisa sampah itu dipercayai ditinggalkan pengunjung yang datang untuk beriadah bersama keluarga selepas kerajaan memberi kelonggaran aktiviti riadah bagi mereka yang lengkap dua dos vaksin.
Dalam pada itu, Sulaiman turut menasihati ibu bapa agar tidak membawa anak kecil beriadah di lokasi yang padat dengan pengunjung.
Tindakan itu, ujarnya, dikhuatiri boleh menyebabkan anak-anak kecil dijangkiti terutama pada ketika keadaan semasa pandemik COVID-19 yang masih tidak menentu kini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.