Jangan hantar anak-anak ke Taska tidak berdaftar
BUKIT KATIL 23 November – Ibu bapa disaran agar tidak menghantar anak masing-masing ke pusat jagaan kanak-kanak yang tidak berdaftar dibawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) 1984.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata langkah itu bagi mengurangkan jumlah Taska tidak berdaftar yang ketika ini muncul bak cendawan tumbuh selepas hujan.
“Taska tidak berdaftar ini tidak akan wujud jika tiada permintaan daripada pihak ibu bapa itu sendiri. Dalam tempoh dua tahun ini, lebih 35 Taska telah ditutup di Melaka kerana gagal memenuhi syarat-syarat untuk beroperasi.
“Syarat untuk membuka Taska sebenarnya hanya tiga sahaja, iaitu perlu mendapatkan sijil atau kebenaran daripada Kementerian Kesihatan, pihak berkuasa tempatan (PBT) selain Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Nasihat saya, kepada ibu bapa di luar sana, sebelum menghantar anak-anak ke mana-mana pusat jagaan atau Taska tolong pastikan ia (pusat jagaan atau taska) telah berdaftar. Perkara ini bagi mengelakkan pelbagai risiko kemalangan atau kes yang tidak diingini daripada berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kutipan Sumbangan Palestin oleh Wanita UMNO Melaka yang berjaya mengutip sebanyak RM116,135 bagi membantu serta mendukung perjuangan rakyat Palestin di Dewan UMNO Hang Tuah Jaya, di sini, semalam.
Kalsom turut mengingatkan ibu bapa yang bekerja agar peka dengan keberadaan anak-anak bagi mengelakkan daripada tertinggal dalam kenderaan seterusnya mengakibatkan kehilangan nyawa.
“Kita harapkan ibu bapa sentiasa peka dengan situasi dan keberadaan anak-anak, amalkan komunikasi dua hala antara ibu bapa dan penjaga (taska atau pusat jagaan).
“Diharapkan saranan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri mengenai kes tinggal anak dalam kereta ini diambil berat oleh semua pihak.
“Orang ramai juga diminta untuk lapor atau peka juga sekiranya ternampak ada kanak-kanak yang ditinggalkan dalam kereta. Sekadar beringat kerana terlalu banyak kes,” tegas Kalsom.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.