Jangan jadikan isu perjawatan awam sebagai perkauman – Khaidhirah

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

BANDARAYA MELAKA 23 Julai – Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok telah memberi gambaran salah dalam pengambilan bukan Bumiputera dalam sektor awam.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, ahli Parlimen DAP itu mengemukakan dua gambaran yang tidak betul iaitu mendakwa pengambilan kerja adalah atas pertimbangan kaum dan berlakunya ketidakseimbangan kaum dalam sektor kerajaan.

Menurutnya, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) telah menegaskan perkara itu di Dewan Rakyat yang mana kerajaan tidak mengenakan sebarang kuota bagi pengambilan berdasarkan kaum atau etnik.

“Bahkan, semasa zaman PH dahulu, Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin pada 2019 juga menyatakan hal yang sama.

“Tidakkah YB Teresa Kok merujuk rakan PAN terlebih dahulu?,” katanya.

Teresa pada persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini meminta pecahan komposisi kaum dalam perkhidmatan awam dan bertanya sama ada kerajaan mempunyai rancangan untuk menjadikannya lebih mewakili konsep Keluarga Malaysia.

Perkara itu, menurut Khaidhirah dibuktikan dengan peratusan pengambilan berdasarkan kadar permohonan bagi kaum bukan Melayu adalah lebih tinggi iaitu India sebanyak 9.49 peratus manakala Cina sebanyak 4.72 peratus.

Ujarnya, berbanding Melayu Bumiputera hanya 1.91 peratus manakala Melayu Bukan Bumiputera sebanyak 1.89 peratus.

“Namun mengapa lebih ramai komposisi penjawat awam Melayu? Hal ini disebabkan etnik Melayu yang paling berminat memohon penjawatan awam dengan jumlah 79.45 peratus, berbanding komuniti India 3.35 peratus dan Cina 1.72 peratus,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim dan Ketua Puteri UMNO Bahagian Jasin hairan dengan kenyataan Teresa yang mendakwa kekurangan minat kaum bukan Melayu menyertai sektor awam disebabkan gaji yang rendah selain kurangnya peluang kemajuan kerjaya.

“Sektor kerajaan bukanlah berteraskan keuntungan tetapi berorientasikan perkhidmatan kepada rakyat.

“Justeru, keuntungan bukanlah motif utama bagi penjawat awam,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau meminta Teresa mengingati kembali tindakan PH pada tahun 2019 yang mahu mengurangkan perjawatan awam sebanyak lima peratus.

“Ia tidak termasuk berapa ramai yang perkhidmatan kontrak kerajaan yang ditamatkan oleh PH? Ribuan telah terseksa di bawah pentadbiran PH.

“Lalu, mengapa kini pembangkang membuat u-turn yang mengkritik struktur gaji yang rendah?,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa penjawat awam merupakan tulang belakang untuk negara terus berfungsi dan adalah tidak wajar Ahli Parlimen DAP itu cuba mempolitikkan institusi penjawat awam serta menjadikannya sebagai isu perkauman.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1386
Kongsi :
Previous post Rancang baik pulih 30 kediaman B40
Next post Ford sasar momentum jualan kukuh di serata ASEAN, pada separuh kedua 2022
Ubah saiz-+=