Jangan pertikai hukum pengambilan vaksin – Kamaruddin Sidek

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

AYER KEROH 23 Feb. – Umat Islam di negeri ini tidak seharusnya mempertikaikan hukum menerima vaksin yang telah diputuskan ianya harus dan wajib diambil oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam.

Penasihat Agama kepada Ketua Menteri Melaka Datuk Kamaruddin Sidek berkata, dari sudut pandangan Islam, perkara itu dilihat sebagai kaedah untuk menyelamatkan nyawa terutama apabila wabak COVID-19 bukan penyakit biasa sebaliknya mampu mengancam nyawa.

Jelasnya, persoalan mula timbul dalam kalangan umat Islam yang membangkitkan mengenai hukum pengambilan vaksin itu apabila sumber penghasilannya didakwa diambil daripada unsur haram.

“Kita tahu maksud syarak yang diturunkan, salah satu daripadanya adalah hafzun nafsi iaitu menjaga nyawa, jadi bagi menyelamatkan nyawa manusia, Allah Taala memberi kelonggaran menggunakan apa sahaja bahan yang seandainya (sumber) najis, tetapi cara itu sahaja boleh menyelamatkan nyawa maka Islam beri kebenaran.

“Begitu juga isu vaksin ini, perkara ini (pandemik COVID-19) tidak berlaku ketika zaman para Nabi dan sahabat Nabi kerana perkara ini berhubung kait dengan perkara baharu.

“Oleh itu, Islam membenarkan para ulama dan mufti untuk berijtihad mencari satu formula, kaedah dan hukum baru kerana Islam bersifat fleksibel yang sesuai dilaksanakan atau diamalkan sepanjang zaman,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI) di sini hari ini.

Mengulas lanjut Kamaruddin yang juga Pesuruhjaya PAS Melaka berkata, berdasarkan kesesuaian yang ditetapkan dalam Islam, para ulama khususnya mufti dan Majlis Fatwa Kebangsaan berpandangan pengambilan vaksin COVID-19 diharuskan demi untuk menyelamatkan nyawa.

“Masyarakat yang tidak mempunyai pengetahuan yang cukup dan lengkap, jangan mudah terikut dan terpengaruh untuk meletakkan hukum mengenai isu ini.

“Saya sendiri bersedia menjadi individu awal untuk menerima vaksin itu sekali gus dapat memberikan keyakinan kepada masyarakat tentang keharusan menerima vaksin tersebut,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Mesyuarat Khas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam yang bersidang pada 3 Disember tahun lalu mengambil ketetapan bahawa hukum penggunaan vaksin COVID-19 adalah harus dan ia wajib diambil golongan ditetapkan kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam kenyataan pada 23 Disember lalu berkata, ketetapan itu telah disembah maklum kepada Majlis Raja-Raja.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

597
Kongsi :
Previous post Banyak majikan masih berdegil
Next post 300,000 penduduk Arab Saudi terima vaksin COVID-19, tiada kesan sampingan
Ubah saiz-+=