Jangan pilih kerja ikut citarasa

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

ASAHAN 31 Mac – Pencari kerja di negeri ini dinasihatkan agar tidak terlalu selektif sebaliknya merebut peluang pekerjaan yang ditawarkan kepada mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan, Fairul Nizam Roslan berkata, meskipun memiliki kelayakan akademik namun mereka berkenaan tidak seharusnya memilih kerja berdasarkan aspek tersebut.

Menurutnya, sikap memilih pekerjaan atau mengikut citarasa hanya akan merugikan diri sendiri dan akhirnya mereka akan ketinggalan daripada pelbagai aspek.

“Kalau lihat perkembangan ekonomi semasa yang sedang berkembang ketika ini, kita tidak boleh terlalu memilih kerja mengikut citarasa diri.

“Misalnya melalui penganjuran Mini Karnival Pekerjaan Perkeso, 1,500 peluang pekerjaan membabitkan pelbagai sektor ditawarkan, jadi rebut sahaja dulu tawaran kerja yang ada,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Mini Karnival Jamin Kerja Asahan 2022 dan program Outreach Kerjaya negeri yang turut dihadiri Pengarah PERKESO negeri, Abd. Razak Omar di Pusat Komuniti Desa Asahan, 26 Mac lalu.

Menurutnya, biarpun kadar peratusan pengangguran di negeri ini masih terkawal iaitu bawah 10 peratus namun pelbagai inisiatif meningkatkan kualiti pekerjaan terus dipergiatkan.

Ia katanya bertujuan memastikan sektor tenaga buruh di negara ini diaplikasi sepenuhnya bagi keperluan pelbagai industri.

Selain itu, menurut Fairul Nizam, golongan pencari kerja juga berpeluang menikmati kemudahan Elaun Mencari Kerja yang disediakan oleh PERKESO.

Pada masa yang sama, beliau memuji insiatif yang digerakkan oleh agensi itu dengan menganjurkan Mini Karnival Pekerjaan di kawasan DUN Asahan berbanding sebelum ini yang lebih tertumpu di pusat bandar.

“Jika dianjurkan di kawasan bandar sahaja banyak penduduk di Asahan ini tidak berkesempatan datang kerana banyak kekangan terutama masalah pengangkutan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

796
Kongsi :
Previous post Projek LCS akan diteruskan – Hishammuddin
Next post Nelayan kena tambah ilmu
Ubah saiz-+=