Jangan ‘simpan’, tapi kongsi bahan sejarah kepada umum

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

BANDA HILIR 20 Februari – Tokoh sejarah diminta untuk menyerahkan artifak berharga dalam simpanan mereka kepada Jabatan Arkib Negara bagi tujuan dokumentasi selain dijadikan rujukan kepada generasi muda.

Ketua Pengarah Arkib Negara, Datuk Jaafar Sidek Abdul Rahman berkata, jika diserahkan kepada pihaknya bahan bersejarah itu boleh dikongsi kepada umum.

“Kalau tahun 1956 mungkin ada sebahagian daripada tokoh-tokoh kita masih hidup, jika mereka ada maklumat mungkin kami boleh kongsi, rakaman suara atau sebagainya untuk dikomersialkan.

“Kami mahu generasi muda tahu tentang sejarah dan mereka (tokoh) boleh menceritakan pengalaman yang dilalui. Jika ada gambar dan sebagainya boleh juga serahkan kepada kami,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Wacana Ilmu Sempena Peristiwa Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu di Dewan Merdeka Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan (MPK), di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Pemegang Amanah Warisan Negeri Melaka, Tan Sri Prof. Dr. Abdul Latiff Abu Bakar dan Pengarah Arkib Negara Malaysia Negeri Melaka, Datu Royniehasim Datu Pindatun.

Katanya, fungsi arkib adalah untuk mengumpul, menyimpan dan memulihara bahan berkaitan dengan sejarah negara.

“Paling penting adalah fakta sejarah, kalau mereka (tokoh sejawaran) ada boleh salur terus kepada arkib. Mereka boleh menyumbangkan kepada arkib untuk kami simpan kekal, kadang-kadang kalau simpan di rumah lama-lama akan rosak.

“Kalau simpan di arkib sekurang-kurangnya kami ada kaedah menyimpan, pulihara dan mungkin akan membuat pendekatan pengisytiharan, jadi bahan itu boleh dikongsi serta disebarkan luas,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1642
Kongsi :
Previous post 403,637 calon duduki peperiksaan bertulis SPM mulai hari ini
Next post Pandu lalu kitar sampah jadi wang
Ubah saiz-+=