Jangan subahat dengan ‘geng plastik hitam’ – KM

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

MASJID TANAH 2 April – Kerajaan negeri memberi amaran kepada peniaga makanan untuk memulakan operasi bermula 2 petang dan tidak bersubahat memberi peluang kepada geng ponteng puasa atau ‘geng plastik hitam’ sepanjang Ramadan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, tindakan tegas akan diambil ke atas individu yang tidak berpuasa di sepanjang bulan Ramadan termasuk peniaga yang bersubahat dalam aktiviti haram itu.

Beliau menegaskan, pemantauan berterusan akan dijalankan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dengan pemerkasaan undang-undang lebih tegas akan diambil ke atas pesalah yang terlibat.

“Kita beri kebenaran boleh berniaga selepas pukul 2 petang, di dalam bulan Ramadan ini kita hormatlah. Bulan yang mulia, bulan Ramadan. Jadi saya harap peniaga-peniaga yang ada jangan ambil kesempatan nak menjual (kepada geng plastik hitam).

“Kalau kita jual, kita pun sama-sama terlibat. Pihak JAIM akan membuat pantauan kepada setiap restoran-restoran, peniaga-peniaga yang membenarkan orang Islam makan di dalam premis perniagaan. Jadi kepada geng-geng plastik hitam ke plastik biru ke apa semua ini hentikanlah, semua ini tak berfaedah,” tegasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Perasmian Premis Perniagaan Ar Rahnu Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Melaka Berhad di Taman Bandar Baru Masjid Tanah, di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan kepada peniaga bazar agar tidak meletakkan harga yang begitu tinggi di sepanjang bulan Ramadan.

“Saya mengingatkan peniaga juallah pada harga yang berpatutan dan tidak terlalu mahal, kita cuba rendahkan harga dan tingkatkan volume dalam perniagaan itu nanti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

768
Kongsi :
Previous post KM seru kakitangan awam Melaka sertai koperasi
Next post Agong, Raja Permaisuri jalani kuarantin kendiri setelah positif COVID-19
Ubah saiz-+=