KM seru kakitangan awam Melaka sertai koperasi

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

MASJID TANAH 2 April – Satu kaedah akan diperkenalkan bagi menggalakkan kakitangan awam negeri ini menyertai Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Melaka Berhad yang diyakini membawa manfaat kepada golongan berkenaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, pihaknya menyeru kepada semua kakitangan awam termasuk individu yang bekerja di Melaka untuk menyertai koperasi yang berada pada tangga ke-43 terbaik di Malaysia.

“Kita ada rencanakannya dan kaedahnya untuk menggalakan mereka untuk jadi ahli koperasi ini dan setakat ini hanya 4,500 kakitangan awam Melaka menyertainya.

“Melaka ada lebih kurang 30,000 kakitangan awam negeri dan persekutuan dan nilai ini agak rendah kerana kita tidak memaksa mereka berikutan mungkin ada dalam kalangan mereka telah menjadi ahli di koperasi lain yang berdaftar di negera ini.

“Di Malaysia terdapat 14,500 koperasi berdaftar dan Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Melaka Berhad ini merupakan di tangga 100 terbaik di negara perlu diambil manfaat dalam kalangan penjawat awam Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Perasmian Premis Perniagaan Ar Rahnu Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Melaka Berhad di Taman Bandar Baru Masjid Tanah, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Zazali Haron dan Pengerusi Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Melaka Berhad, Marsitah Othman.

Terdahulu dalam program itu, Sulaiman merasmikan pembukaan outlet Ar Rahnu pertama di Masjid Tanah yang dijangka dapat meningkatkan perolehan koperasi dengan pulangan berbentuk dividen kepada ahlinya.

Pembukaan outlet yang menjalankan pajak gadai islam itu merupakan yang kelima dimiliki dan diusahakan oleh Gerakan Koperasi di Melaka hasil bimbingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia dengan kerjasama Koperasi Orang Melayu Kerajaan (SKOMK) Perak Berhad.

Sementara itu, Marsitah berkata, penyertaan ahli dalam koperasinya itu memberi pelbagai faedah kepada kakitangan awam Melaka.

“Antaranya kita mempunyai skim khairat kematian kepada ahli yang meninggal dengan memberi faedah sebanyak RM18,000 mereka, malah setiap hutang juga akan dilangsaikan,” katanya.

Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Melaka Berhad yang ditubuhkan pada 1926 telah mencapai hampir 96 tahun penubuhannya mempunyai 12 anggota lembaga koperasi yang menjalankan kredit kepada anggotanya, sewaan bangunan, projek hartanah, pelaburan dan perkhidmatan dobi layan diri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1539
Kongsi :
Previous post Tiada insentif pengeluaran getah bagi Mac 2022
Next post Jangan subahat dengan ‘geng plastik hitam’ – KM
Ubah saiz-+=