Jangan takut lapor salah laku penguat kuasa

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

AYER KEROH 11 Mei – Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) meminta orang ramai memainkan peranan membantu agensi itu dengan menyalurkan maklumat mengenai salah laku dalam kalangan pegawai penguat kuasa.

Pesuruhjaya EAIC Tan Sri Mahmood Adam berkata, selain mengajak orang ramai bersama-sama memainkan peranan dalam membanteras salah laku usaha itu juga mampu meningkatkan tahap kesedaran dan keprihatinan masyarakat mengenai aspek akauntabiliti institusi penguatkuasaan di negara ini.

Mahmood berkata, pihaknya akan mencari kaedah yang memudahkan orang ramai selain turun padang berjumpa masyarakat bagi memastikan perkara atau isu dibangkitkan dapat diselesaikan.

“Biarpun perkara dibangkitkan itu remeh tetapi perlu diselesaikan juga dan kita perlu kemaskini dari semasa ke semasa kepada pihak yang mengadu supaya mereka berpuas hati aduan diambil berat oleh EAIC.

“Bila sudah dipanjangkan kepada agensi terlibat kita akan menyemak kembali keputusan aduan tersebut dan kita hantar salinan kepada pihak pengadu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program E.R.A.T Encouraging, Responsibility, Accountability, Trustworthiness (EAIC) Bersama Dengan Masyarakat Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

WhatsApp Image 2023-05-11 at 2.32.34 PM
MAHMOOD (kiri) melihat poster laporkan salah laku penguat kuasa.

Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) Datuk Maslina Baki mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari dan Ketua Pegawai Eksekutif EAIC, Norhayati Ahmad.

Menjadi harapan Mahmood EAIC dapat menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak untuk memastikan setiap inisiatif dan mekanisme yang dirancang bagi membanteras salah laku dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.

“Semoga kempen ERAT yang bermula hari ini sehingga 13 Mei (Sabtu)dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat setempat di Negeri Melaka.

“Ambil peluang untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan fungsi dan peranan EAIC, insya-Allah kami sedia membantu dan mengalu-alukan sebarang cadangan daripada orang awam untuk memperbaiki mutu perkhidmatan agensi-agensi penguatkuasaan di bawah seliaan EAIC,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1289
Kongsi :
Previous post Sambutan mega Mahabbah Aidilfitri UTeM
Next post UTeM terima dua geran penyelidikan RM446,000
Ubah saiz-+=