Jangek jadi rebutan di Bazar Ramadan Masjid Tanah

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

LENDU 14 April. – Bazar Ramadan Masjid Tanah, di sini amat dirindui penggemar jangek atau kulit kaki lembu masak lemak cili padi dengan rebung kerana selain bulan Ramadan, masakan itu tidak diperoleh.

Pada bulan biasa, jangek tidak disediakan kebanyakan peniaga kerana ia agak rumit untuk dihasilkan.

Bagi peniaga pelbagai jenis lauk-pauk, Mohd Hafiz Azwan Mohd Azlan, 34, dan adiknya, Mohd Farhan Azwan, 33, jika jangek tidak disediakan, pelanggan tetap akan merajuk.

MOHD Hafiz menceduk jangek yang dipesan pelanggan di Bazar Ramadan Masjid Tanah.

Mohd Hafiz berkata, tahun lalu mereka tidak menyediakan jangek kerana jualan secara dalam talian tidak semeriah jualan di Bazar Ramadan Masjid Tanah, di sini yang disertainya sejak 23 tahun lalu.

“Bukan mudah untuk menyediakan jangek iaitu kulit kaki lembu yang harus dipanaskan atas bara selama beberapa jam sebelum dikikis bulunya.

“Selepas itu, ia dijemur antara dua hingga tiga hari dan hanya selepas itu, barulah kerja menghiris kulit kaki lembu itu boleh dibuat untuk mendapatkan kulit yang benar-benar lembut dan bersih,” katanya ketika ditemui di bazar itu semalam.

Mohd Farhan berkata, jangek tidak sama rasanya dengan daging kerana jangek lebih kenyal dan lemak.

Katanya, rebung bukan setakat menambah kelazatan, malah meningkatkan aroma jangek yang sudah sedia berbau hangit berikutan kerja menyalainya sebelum itu.

MOHD Hafiz menceduk siput sedut masak lemak cili padi yang dipesan pelanggan di Bazar Ramadan Masjid Tanah.

“Pelanggan amat menggemari jangek yang ada bau asap salai dan apabila digabungkan dengan rebung masak lemak cili padi, ia amat membuka selera,” katanya.

Lazimnya, kedua-dua beradik itu memasak jangek yang diambil daripada antara 12 hingga 16 batang kaki lembu sehari.

Satu mangkuk jangek dijual pada harga antara RM5 hingga RM15 bergantung kepada saiz bekas berkenaan.

Selain jangek, mereka turut menyediakan 31 jenis juadah lain yang kebanyakannya masak lemak cili padi yang menjadi kegemaran anggota komuniti di daerah ini.

Antaranya ialah limpa berempah, hati rendang, sotong goreng kunyit, telur sotong, daging salai masak lemak daun kayu, ikan keli salai, siput masak lemak cili padi dan telur itik masak lemak cili padi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2311
Kongsi :
Previous post Kanak-kanak perempuan cedera digigit anjing liar
Next post Tindakan tegas individu tidak patuh SOP di bazar Ramadan
Ubah saiz-+=