Jangkitan paru-paru kronik punca lelaki mati dalam lokap di Pahang – Polis

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

KUALA LUMPUR, 12 April – Polis hari ini memaklumkan bahawa kematian seorang lelaki warga tempatan di lokap berpusat Indera Mahkota, Kuantan, Pahang, Sabtu lepas berpunca daripada acute on chronic lung infection with underlying pulmonary tuberculosis with COVID-19.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Seri Azri Ahmad dalam kenyataan di sini berkata perkara itu disahkan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), yang menjalankan bedah siasat ke atas tahanan tersebut hari ini.

Katanya bedah siasat itu turut tidak menemui sebarang kecederaan atau elemen jenayah dan kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Lelaki berusia 42 tahun itu yang merupakan Orang Kena Tahan (OKT) disahkan meninggal dunia oleh pihak Hospital Kuantan pada 6.35 petang, Sabtu.

Dalam pada itu, Azri berkata Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan JIPS akan meneruskan siasatan dari pelbagai sudut sebelum menyerahkan hasil siasatan kepada koroner untuk keputusan.

Pada 21 Mac lepas, Azri dilapor sebagai berkata lelaki terbabit telah dihantar ke lokap berkenaan bagi menjalani hukuman penjara selama lapan bulan atas kesalahan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan menghadapi pertuduhan di mahkamah pada 14 April ini bagi kesalahan di bawah Seksyen 12 (2) akta yang sama.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

769
Kongsi :
Previous post MiCoST lawat Pembangunan Sumber Manusia Berhad
Next post Polis Terengganu sita aset hasil edar dadah bernilai RM4.3 juta
Ubah saiz-+=