Jelajah Belanjawan 2023 untuk dengar pendapat pihak berkepentingan

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

PUTRAJAYA, 8 Jun – Kementerian Kewangan (MOF) akan memulakan sesi Jelajah Belanjawan 2023 untuk mendengar pendapat dan cadangan daripada semua pihak yang berkepentingan, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata portal rasmi Belanjawan 2023 juga telah dibuka sejak 3 Jun lepas yang bertujuan mengajak organisasi swasta menyumbang idea mengenai isu-isu serta cadangan untuk dipertimbangkan dalam belanjawan itu.

Menurutnya, MOF seperti yang dinyatakan dalam Kenyataan Pra-Bajet 2023 mahu memberi fokus kepada pemulihan ekonomi negara dan juga memastikan pertumbuhan ekonomi adalah mapan untuk tahun hadapan.

“Kita ingin menegaskan daripada segi transformasi ekonomi, memerlukan inklusif kepada semua lapisan masyarakat dan sektor,” katanya selepas hadir pada Majlis Rumah Terbuka Raya anjuran Kelab Media Putrajaya di sini hari ini.

Mengenai pendedahan bahawa lebih 50 peratus daripada subsidi bahan api dimanfaatkan golongan T20, Tengku Zafrul berkata kerajaan perlu lebih bersasar dalam pemberian subsidi untuk jangka masa panjang.

Menurutnya, kajian pelbagai pihak termasuk Bank Negara Malaysia telah mendedahkan setiap RM1 petrol diisi 53 sen. pergi kepada golongan T20.

Beliau berkata Malaysia dijangka perlu menampung subsidi mencecah RM71 bilion pada 2022, yang mana subsidi bahan api sahaja berjumlah RM30 bilion disebabkan kenaikan harga minyak mentah dunia dan daripada jumlah itu, RM15 bilion disalurkan kepada T20.

“Kita kena lebih bersasar untuk jangka masa panjang. Apa yang penting kita bersetuju dengan pendekatan ini jika rakyat setuju.

“Tindakan yang betul ialah cara terbaik untuk pelaksanaan supaya tiada yang tercicir. Prinsip saya bahawa kita mesti lebih bersasar dan harap rakyat bersetuju bahawa kita perlu menolong rakyat yang betul-betul memerlukan,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

589
Kongsi :
Previous post Harga udang tempatan stabil sepanjang enam bulan lepas
Next post Fokus kepada tugas di MOF, tidak fikir isu politik – Tengku Zafrul
Ubah saiz-+=