Sorting by

×

Jemaah muda teruja ke tanah suci

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

AYER MOLEK 9 Jun – Tabungan berdikit-dikit, sejak kecil oleh ibu bapanya membolehkan gadis berusia 29 tahun ini menjadi tetamu Allah apabila ditawarkan untuk menunaikan ibadah haji di tanah suci tahun ini.

Nor Aisyah Wardah Mohamed berkata, rezeki itu dianggap sebagai keberkatan rezeki ibu bapanya Zaiton Suderlan dan Mohamed Abd Rahman masing-masing berusia 69 tahun.

Setiap bulan ibu bapanya akan memperuntukan sedikit wang ke dalam akaun Tabung Haji (TH) miliknya dan adik-beradik yang lain.

Sebelum ini sudah dua kali dia menerima tawaran mengerjakan rukun Islam kelima itu namun ditolak atas faktor tertentu termasuk pandemik COVID-19.

Dia yang bertugas di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur berkata, surat tawaran daripada TH pada 6 Mei lalu.

“Sudah tiga kali saya terima tawaran, memang tidak sangka akan diberi peluang kerana sudah dua kali saya tolak, perasaan ketika itu tidak boleh digambarkan.

“Selepas tiga hari saya beri jawapan kepada TH dan kini menunggu tarikh berlepas, sepanjang di sana saya akan ditemani bapa saudara.

“Saya sangat gembira kerana dijemput Allah S.W.T menjadi tetamunya pada usia masih muda. Ketika ini saya agak gementar kerana ibu, ayah atau adik-beradik tidak bersama kerana sudah menunaikan haji lebih awal,” katanya ketika ditemui di rumah ibunya di Paya Redan.

Anak bongsu daripada empat beradik itu berkata, selain barangan keperluan dia menggunakan masa yang ada untuk mempersiapkan rohani dan mental.

“Selain mendapat haji yang mabrur saya juga berharap agar semua urusan di sana nanti dipermudahkan dan berjalan lancar. Namun begitu sentiasa perlu bersangka baik dan jaga hati.

“Emak dan ibu saudara adalah tempat rujukan saya, selain itu saya juga melayari Youtube dan membaca buku bagi menambah pengetahuan selain meningkatkan pemahaman mengenai ibadah haji,” katanya.

Nor Aisyah bersyukur apabila majikannya juga turut memberi kerjasama dengan membenarkannya mengambil cuti awal bagi menguruskan segala keperluan sebelum berangkat ke tanah suci

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1150
Kongsi :
Previous post Kerajaan masih kaji semua sistem percukaian termasuk GST
Next post Pentingnya komunikasi dalam selesaikan masalah penduduk
Ubah saiz-+=