Jenazah lima sekeluarga maut kemalangan selamat dikebumikan

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

BUTTERWORTH, 24 Julai – Jenazah lima sekeluarga yang maut dalam kemalangan di KM62, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, di Perak semalam selamat dikebumikan di Masjid Jamek Haji Abdul Rashid, Sungai Dua di sini hari ini.

Jenazah lima beranak itu tiba di masjid berkenaan kira-kira pukul 1 tengah hari dan lebih 200 orang terdiri daripada ahli keluarga, sanak saudara serta penduduk kampung berada di situ bagi menghadiri majlis pengebumian itu.

Jenazah Mohd Rodhi Othman, 64, dan isterinya Sharifah Rohana Syed Sagaf, 59, bersama anak mereka Siti Aishah Mohd Rodhi, 32, dan menantu Ahmad Khomaini Baba, 32 serta anak pasangan itu Zara Hana Ahmad Khomaini berumur enam tahun, disembahyangkan selepas solat Zohor.

Seterusnya lima jenazah itu dikebumikan dalam satu liang lahad di tanah perkuburan masjid dengan suasana hiba kira-kira pukul 2.30 petang.

Ibu kepada Mohd Rodhi, Mariam Mat, 82, berkata anak sulungnya daripada lapan beradik itu ada menghubunginya tengah hari Jumaat lepas dan mereka bersembang seperti biasa kerana memang menjadi kebiasaan arwah menelefonnya setiap hari.

Beliau berkata berita kemalangan itu amat menghibakan, bukan sahaja kehilangan anak dan menantu yang baik, malah cucu serta cucu menantu dan cicit, yang amat rapat dengannya turut terkorban dalam kejadian itu.

“Khamis lepas, Rodhi ada datang rumah saya di Bagan Jermal (Butterworth) hantar ubat makcik.. dia kata hantar awal sebab senang, lagipun dia kata Ahad ni (hari ini) takut tak sempat hantar kerana nak hantar cucu arwah yang meninggal dalam kemalangan itu pergi sekolah,” katanya.

Beliau berkata Mohd Rodhi adalah seorang pesara kerajaan yang sebelum ini bekerja sebagai pensyarah di sebuah matrikulasi, manakala isterinya bekerja sebagai guru, dan mereka tinggal di Laguna Merbok, Sungai Petani, Kedah.

Dalam kejadian kira-kira 3.45 petang semalam, lima sekeluarga itu yang menaiki kereta Perodua Alza terlibat dalam kemalangan selepas kenderaan mereka bertembung dengan trak pikap Toyota Hilux.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1510
Kongsi :
Previous post Nilai eksport biji dan produk koko cecah RM3.2 bilion, dijangka terus meningkat – Wee
Next post 488 atlet Melaka ke Sukma 2022
Ubah saiz-+=