
‘JIKA MELAKA ADALAH POHON, JASIN ADALAH AKARNYA..’
RIM 21 Jun – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang bakal berkampung selama sebulan di Parlimen Jasin bakal merealisasikan seribu harapan dan aspirasi rakyat di kawasan itu.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, setiap suara dan permasalahan rakyat di sebalik setiap kampung, taman dan komuniti di bumi Jasin akan diberi perhatian serius serta tindakan segera daripada Kerajaan Negeri.
Malah, apabila menyentuh tentang Jasin, Ketua Menteri menyifatkan kawasan itu sebagai salah satu kekuatan utama untuk Negeri Melaka.
“Saya percaya, jika Melaka diibaratkan sebuah pohon yang rendang, maka Jasin adalah akarnya. Di sinilah lahirnya kekuatan sektor pertanian negeri. Di sinilah juga berkembangnya komuniti usahawan desa yang menjadi tulang belakang ekonomi tempatan.
“Hadirnya WRUR di sini, bukan sekadar membawa program, tetapi membawa komitmen untuk membuka lebih banyak peluang, mempercepatkan pembangunan dan memastikan kemajuan negeri ini terus dirasai oleh rakyat di setiap pelosok Jasin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program WRUR Parlimen Jasin: Kampung Kita (DUN Rim) di Dataran Masjid At-Taqwa, Kampung Rim, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Pengerusi Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Adun Sungai Rambai Datuk Siti Faizah Abd Azis; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom serta lain-lain kenamaan.
Jelas Ab Rauf, harapan dan aspirasi rakyat di seluruh Melaka menjadi pencetus kepada ilham penganjuran WRUR di setiap DUN, di mana menerusi inisiatif itu pendekatan Kerajaan Negeri dapat diperkukuhkan daripada sekadar pentadbiran di meja birokrasi, kepada tindakan yang lebih dekat, lebih cepat dan lebih tepat di lapangan.
“Tiada tempat lain yang berani buat, tapi kita Kerajaan Negeri Melaka yang satu-satunya melaksanakan WRUR ini.
“Inilah yang menjadi asas kepada gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa). Ia bukan sekadar retorik. Sebaliknya, ia adalah prinsip jelas pentadbiran kerajaan negeri hari ini, bahawa di mana ada kesusahan rakyat, di situlah kerajaan perlu hadir.
“Di mana ada permasalahan yang membebankan, di situlah kerajaan perlu bertindak dan di mana ada harapan dan aspirasi rakyat, di situlah kerajaan perlu membuka peluang dan mencipta kesempatan demi rakyat untuk rakyat,” tegas beliau.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


