Jimat banyak di Jualan Keluarga Malaysia
ALOR GAJAH 19 Dis – Penduduk di negeri ini diminta merebut peluang menikmati potongan harga murah sempena penganjuran Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang menawarkan penjimatan harga 30 hingga 40 peratus.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, Norena Jaafar berkata, misalnya harga ayam dijual sekitar RM7.99 dan RM8 seekor namun dihadkan pembelian tiga ekor setiap pembeli.
Menurutnya, penganjuran PJKM melibatkan lima Parlimen dan lokasi terlibat ialah hadapan Sekolah kebangsaan Telok Mas (Parlimen Kota Melaka), Taman Chempaka (Parlimen Hang Tuah Jaya), Taman Tangga Batu Perdana (Tangga Batu), Taman Melaka Perdana Machap Jaya (Alor Gajah) dan Merlimau (Jasin).
“Penganjuran PJKM dijangka memberi manfaat kepada lebih 250,000 isi rumah yang berlangsung Sabtu dan Ahad,” katanya selepas mengiringi EXCO Perpaduan Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem ke PJKM Taman Melaka Perdana, Machap, semalam.
Penganjuran PJKM merupakan kerjasama antara KPDNHEP dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam usaha kerajaan menangani situasi kenaikan harga barangan sejak kebelakangan ini.
Sementara itu, menurut Hee Sem, pihaknya berpuas hati dengan sambutan orang ramai terhadap penganjuran PJKM Taman Melaka Perdana biarpun berlangsung dalam cuaca tidak menentu.
Ini dilihat berdasarkan sambutan orang ramai terhadap pembelian beberapa barangan kawalan seperti ayam, minyak masak dan sayur yang habis terjual lebih awal kira-kira pukul 9 pagi.
Ujar beliau, tawaran harga rendah sempena penganjuran PJKM menjimatkan wang pengguna sekali gus membantu mereka mendapatkan barangan lain bagi melengkapkan keperluan keluarga.
“Kita berharap program ini dapat membantu orang ramai dalam membuat perancangan bijak sebelum membuat pembelian demi mengurangkan bebanan perbelanjaan isi rumah,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.