Jiran dakwa kerap dengar suara budak menangis dari rumah mangsa

Masa Membaca:2 Minit, 4 Saat

KRUBONG 30 Jan. – Seorang jiran kepada kanak-kanak yang maut dipercayai didera, mendakwa dia sering mendengar tangisan dari rumah berkenaan namun menyangkakan ia perkara biasa.

Suri rumah berusia 43 tahun yang enggan dikenali itu mendakwa dia sendiri jarang berbual dengan ibu kandung mahupun bapa tiri mangsa, Zubaidy Amir Qusyairi Abdul Malek,7, kerana keluarga berkenaan tidak bergaul rapat sesama jiran tetangga.

Dia bagaimanapun terkejut sebaik mengetahui kanak-kanak malang itu mati apabila ambulans datang ke rumah arwah pada jam 4.30 petang semalam.

“Saya keluar dari rumah dan melihat ibu arwah terduduk di atas sofa dan bapa tirinya memaklumkan anaknya mati lemas dalam tong.

“Saya ada bertanya kepada seorang kakitangan perubatan, namun dia beritahu kanak-kanak itu sudah lama meninggal dunia dan minta kami jiran-jirannya memberi ruang kepada keluarga berkenaan untuk bertenang dan tunggu polis datang menyiasat,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Krubong Jaya, di sini hari ini.

Menurutnya, dia mengenali keluarga berkenaan sejak lima tahun lalu, namun jiran di kawasan sekitar lebih menyenangi bapa tiri mangsa kerana lebih peramah berbanding ibunya.

“Kita kenal ibunya yang tidak berapa mesra, jadi orang taman ini lebih biasa bersembang dengan suami (bapa tiri mangsa).

“Sesekali ada juga terdengar tangisan kanak-kanak tetapi biasalah mungkin kerana mengajar anak yang kadang-kala nakal, itu perkara biasa bagi saya,” katanya.

Sebelum ini Melaka Hari Ini melaporkan Zubaidy Amir maut dipercayai didera ibu dan bapa tirinya di rumah mereka di taman berkenaan.

Dalam kejadian pada jam 4 petang itu, kanak-kanak berkenaan ditemukan lemas dalam tong air berketinggian 60.9 sentimeter (cm) di rumah berkenaan.

Siasatan polis bagaimanapun mendapati, terdapat kesan kecederaan di beberapa anggota badan sebelum menahan ibu dan bapa tiri mangsa untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, seorang lagi jiran wanita yang enggan dikenali berusia 47 tahun dan tinggal berhampiran di lokasi kejadian berkata, dia dan anaknya beberapa kali melihat mangsa termenung sendirian.

“Saya tiada anak kecil, anak-anak saya sudah besar dan memang sukakan kanak-kanak.

“Ada sekali anak saya yang berusia 22 tahun mengambil gambar kanak-kanak itu secara spontan sedang termenung di jeriji besi hadapan rumahnya.

“Anak saya cuba bersembang tetapi dia (Zubaidy Amir) tidak memberikan respons dan terus lari,” katanya.

Gambar yang dirakam menerusi telefon bimbit anak wanita itu bagaimanapun turut tular di lama sosial sehingga mendapat reaksi sedih daripada warga maya.

Sebelum ini, klip video memaparkan detik perpisahan antara Zubaidy Amir dan ibu angkatnya, Norlida Abu Hassan, 50, sebelum diserahkan kepada ibu kandungnya pernah tular di media sosial Oktober tahun lalu.

Views:

766
Kongsi :
Previous post Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat mulakan lawatan ke negeri
Next post Mujur bomba datang
Ubah saiz-+=