JKN tambah 120 katil di Jabatan Kecemasan Hospital Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

AYER MOLEK 10 Ogos – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) menambah 120 katil di Jabatan Kecemasan Hospital Melaka (HM) bagi mengatasi kepadatan pesakit di jabatan itu.

Exco Kesihatan negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, sehingga kini keseluruhan 29 wad dengan jumlah 627 katil di hospital berkenaan disediakan untuk merawat pesakit COVID-19.

Katanya, kewujudan Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dijangka beroperasi dalam tempoh 10 hari turut ditempatkan berhampiran di jabatan itu.

“JKN menyediakan 60 katil di bahagian ‘Decon Zone’ Jabatan Kecemasan selain itu penambahan 64 lagi katil di Hospital Medan menjadikan jumlah keseluruhan katil di jabatan itu sebanyak 124 katil.

“Pesakit akan dirujuk di sini sebelum diberi rawatan awal tanpa menunggu lama untuk dimasukkan ke wad COVID-19 manakala Hospital Medan sedang dibangunkan dari sumber lain, bukannya daripada Labuan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat kebun ubi di Bukit Nibong, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata Hospital Medan yang sebelum ini dicadangkan di parkir kereta diubah ke lokasi baharu berhampiran Jabatan Kecemasan HM.

“Ia digunakan sama ada untuk merawat pesakit COVID-19 atau bukan COVID-19 atau pesakit yang dirawat daripada zon merah atau zon kuning di Jabatan Kecemasan, sebab itu kita letakkan di kawasan berhampiran,” katanya.

Katanya, setakat semalam, kapasiti penggunaan katil untuk merawat pesakit COVID-19 sudah mencapai 94.4 peratus atau 663 unit daripada keseluruhan 702 katil.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2437
Kongsi :
Previous post Hospital Melaka akan terima dua kontena mayat
Next post Tempoh lama merawat pesakit varian Delta antara faktor HM sesak
Ubah saiz-+=