Johor peruntuk RM6.4 juta selenggara kemudahan, pusat sukan SUKMA

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

JOHOR BAHRU 4 Mei. – Kerajaan negeri menerusi Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) memperuntukkan RM6.4 juta setahun bagi menyelenggara kemudahan dan tempat untuk Sukan Malaysia (Sukma) di negeri itu.

Pengarah MSNJ Nor Syazlan Abd Razak berkata, usaha itu bertujuan memastikan tiada kerosakan berlaku terhadap kemudahan itu akibat tidak digunakan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kita sentiasa memastikan penyelenggaraan stadium, venue dan kemudahan sukan diteruskan kerana kita tidak mahu apabila Sukma dijalankan dan kita menjadi tuan rumah, segala kemudahan sukan tersebut tidak dapat digunakan.

“Di peringkat MSNJ juga sudah memperuntukkan dana untuk stadium-stadium tersebut dan kita telah membuat jadual penggunaan stadium dari segi program dan latihan tetapi perancangan tersebut (jadual program dan latihan) tidak boleh dijalankan kerana PKP. Namun, mengenai penyelenggaraan, kita dah lakukan dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas sesi dialog Johor Sports Master Plan 2030 di sini semalam.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Belia dan Sukan negeri Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Mengenai status terkini cadangan pembinaan Combat Centre atau pusat pertempuran, Onn berkata Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri Johor (BPENJ) kini dalam proses membawa kertas cadangan mengenai pusat itu kepada kerajaan negeri untuk kelulusan.

“Combat Centre merupakan pusat sukan tempur melibatkan pusat latihan dan juga tempat pertandingan, yang mana semua sukan tempur ditempatkan dalam bangunan sama, iaitu di Nusa Duta.

“Kita sudah peruntukkan RM4.5 juta bagi aktiviti sukan tempur tetapi dari segi penyelarasan, elaun dan sebagainya kita perlu pertimbangkan semula berdasarkan kekangan kewangan yang kita lalui,” katanya.

Mengulas sesi dialog itu, Onn berkata antara isu yang diutarakan Persatuan Sukan Negeri Johor termasuk pemilihan jurulatih, bantuan kewangan tambahan dan permohonan penyediaan pusat latihan persendirian bagi acara sukan tertentu.

Jelasnya semua perkara yang diutarakan itu adalah wajar dan mampu dipertimbangkan berdasarkan keperluan atlet.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

681
Kongsi :
Previous post Pelantar minyak tenggelam, 101 anak kapal terselamat
Next post Zakat Melaka sasar pungutan RM5 juta tahun ini
Ubah saiz-+=