Sorting by

×

Jom bermalam di penjara

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

BANDA HILIR 7 Jun – Program simulasi dan bermalam di Muzium Penjara Malaysia Melaka bakal dibuka semula kepada orang ramai terutama individu berkumpulan bagi merasai pengalaman bermalam sebagai banduan di penjara tersebut.

Pengarah Muzium Penjara Malaysia Melaka, Mohd Saifullah Md Akhir berkata, program yang sebelum ini pernah diperkenalkan pada tahun 2019 akan dirancakkan semula sekali gus memberi kesedaran dalam pendidikan jenayah kepada pengunjungnya.

Katanya, setakat ini pihaknya sedang merangka modul dan program yang bakal dilaksanakan di penjara kedua tertua di negara itu sebelum dibuka dalam masa terdekat ini.

“Program ini pernah dijalankan pada 2019 dan dihentikan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menerima sambutan dari sekolah yang membawa pelajar bermalam di muzium ini.

“Jadi, ia akan dilaksanakan semula dan kita menawarkan kepada mana-mana individu berkumpulan termasuk dari pihak sekolah, universiti mahupun dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta untuk menyertai program ini.

“Ia sekali gus akan memberi pendedahan secara terus kepada mereka yang terlibat terutama dalam pengalaman bermalam di penjara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Sayangi Hidup Derita Selamanya (SHIELDS) peringkat negeri di muzium terbabit, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, menurutnya, beberapa modul yang akan dirangka semula akan memberi nilai tambah kepada orang ramai bagi mengelakkan daripada cenderung melakukan jenayah.

“Dalam pakej bermalam itu kita akan sediakan beberapa modul kepada peserta seperti simulasi dan melibatkan dengan Pegawai Psikologi dari Jabatan Penjara negeri ini membabitkan daripada Penjara Sungai Udang, Dusun Datuk Murad, Sekolah Henry Gurney (SHG) serta keseluruhannya di negeri ini.

“Modul ini lebih kepada kesedaran dan ia juga akan diberikan sedikit penekanan regimental kepada peserta tapi ia tidaklah sama seperti di penjara biasa agar pendedahan itu dapat dilaksanakan secara terus,” katanya.

Beliau berkata, muzium yang dibuka orang ramai sejak 2014 mempunyai 46 jenis pameran disediakan buat orang ramai dengan kadar RM3 buat dewasa dan RM1 buat kanak-kanak berumur 4 hingga 12 tahun.

Muzium yang sebelum ini dikenali sebagai ‘Her Majesty Jail’ dan pernah dijadikan sebagai SHG kedua di negeri ini pernah menempatkan kira-kira 500 banduan dalam sesebuah masa.

Sebaik diiktiraf sebagai muzium pada 2014, ia telah menerima kehadiran 100,000 pengunjung.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

8131
Kongsi :
Previous post Jangan cemari Pantai Klebang
Next post ITEX 2022: UTeM rangkul tujuh pingat emas
Ubah saiz-+=