Jom ke Karnival Riuh Nau! minggu depan, himpun penggiat industri kreatif

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

BANDA HILIR 27 Julai – Orang ramai dijemput untuk memeriahkan Karnival Riuh Nau! yang bakal diadakan di padang Kompleks Beli Belah Dataran Pahlawan bermula Jumaat hingga Ahad depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MyCreative Ventures Junady Nawawi berkata, Melaka kali ini dipilih sebagai negeri ketiga di Malaysia bagi melaksanakan karnival siri jelajahnya menerusi Kembara Riuh Keluarga Malaysia yang diyakini bakal menarik lebih 20,000 pengunjung datang ke penganjuran berkenaan.

Jelasnya, dalam edisi ketiga selepas penganjurannya di Kota Kinabalu, Sabah pada Jun lalu pihak Kementarian Komunikasi dan Multimedia (K-KOM) menerusi MyCreative Ventures telah memilih negeri ini untuk melaksanakan misinya bagi memperkasa industri kreatif dan seni tempatan di negara ini.

“Karnival ini akan menghimpunkan para usahawan kreatif dan penggiat seni tempatan dijangka akan mewujudkan sekurang-kurangnya 7,000 peluang pekerjaan di 14 lokasi di serata tanah air dan menyokong lebih 5,000 perniagaan tempatan.

“Melaka memang terkenal dengan pelbagai seni dan budaya unik serta pengusaha industri kreatif yang merupakan intipati daya tarikan pelancongan yang menjadi salah satu kekuatan ekonomi Melaka dan ini sekali gus mempromosi dan mengetengahkan industri kreatif hasil kerja artis-artis tempatan.

“Pemilihan Melaka sebagai tuan rumah Riuh Nau! kali ini adalah kerana lokasi ini merupakan Bandaraya Bersejarah, serta diisytiharkan oleh UNESCO sebagai Bandar Warisan Dunia (World Heritage) sejak 2008,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media diadakan di Kompleks Beli Belah Dataran Pahlawan di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata pelbagai acara menarik akan diadakan pada karnival yang berlangsung selama tiga hari itu dan ia dijangkak dirasmikan Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.

“Antara program Riuh Nau! yang bakal disajikan termasuk persembahan istimewa daripada artis Monoloque, AstroLoka Gamelan, Insomniacks, Merakki, Nadir Music, Mafidz, Nyk dan banyak lagi.

“Pengunjung juga berperluang menyaksikan pertunjukan budaya seperti Dondang Sayang, persembahan Perkahwinan Baba Nyonya, Tarian tradisi Melayu, Portugis, Chetti, Cina dan Joget.

“Selain itu, bengkel kreatif kasut manik Baba Nyonya, dan jubin seramik Baba Nyonya, kedai ‘pop up’, aktiviti seni dan demo sajian istimewa Baba Nyonya dan permainan rakyat seperti gasing turut diadakan dalam penganjuran kali ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1831
Kongsi :
Previous post Setia itu mahal – KM
Next post D’Alai Gallery Walk SK Alai serlah potensi murid berkeperluan khas
Ubah saiz-+=