JPJ Melaka sita lori disyaki seludup diesel

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

PAYA RUMPUT 25 Januari – Sebuah lori lima tan yang disyaki diubai suai untuk kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi disita dalam operasi bersepadu di Lebuh Alor Gajah – Melaka – Jasin (AMJ) di sini, malam tadi.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, Muhammad Firdaus Shariff berkata dalam operasi selama tiga jam bermula jam 9 malam itu, kenderaan berat itu dipandu seorang lelaki tempatan berusia 30-an dipercayai dalam perjalanan mengisi diesel di sebuah stesen minyak berhampiran.

Katanya, ketika pemeriksaan terhadap lori berkenaan, pihaknya menemui sebuah tangki kosong yang boleh memuatkan 3,000 liter minyak diesel di bahagian dalam kenderaan itu.

“Kenderaan ini melakukan kesalahan melakukan pengubahsuaian pada kenderaan yang mana dia meletakkan tong minyak diesel dalam kenderaan yang mana muatan dibawa itu tidak sesuai untuk kenderaan terbabit.

“Kita akan semak lagi secara teknikal untuk kesalahan lain selain daripada kesalahan kes itu dan pemandu juga dikesan tidak mempunyai lesen.

“Bagaimanapun, kenderaan itu disita dibawah Seksyen 12 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan mengubah suai tanpa kebenaran.,” katanya kepada pemberita di lokasi operasi malam tadi.

Whatsapp Image 2024 01 25 At 09.57.21 44e0f093 Fotor 20240125134519
ANGGOTA JPJ menjalankan pemeriksaan dalam oeprasi bersepadu di Lebuh AMJ berhampiran.

Beliau berkata, lori terbabit adalah antara tiga kenderaan yang disita atas pelbagai kesalahan dalam operasi berkenaan.

Katanya, sepanjang operasi itu, pihaknya mengeluarkan 275 saman terhadap 132 pemandu dan penunggang yang melakukan pelbagai kesalahan.

“Motosikal kekal menjadi kenderaan paling banyak dikenakan tindakan saman iaitu sebanyak 72 saman atas pelbagai kesalahan termasuk tiada cukai jalan, tiada lesen dan ubah suai kenderaan.

“Turut dikenakan saman seorang pemandu sebuah bas ekspres berusia 40-an kerana didapati tidak mempunyai permit memandu kenderaan berat terbabit,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

804
Kongsi :
Previous post Lembu terbiar: Tiada kompromi, pengurangan kompaun
Next post Lelong lembu terbiar serendah RM1,600
Ubah saiz-+=