JPJ sita 3,111 motosikal dalam Op Khas seluruh negara

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

MELAKA, 14 Sept – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengesan dan menyita sebanyak 3,111 motosikal di seluruh negara sepanjang Operasi Khas Motosikal bermula 1 Sept hingga semalam.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Datuk Lokman Jamaan berkata kesemua kenderaan disita itu diklasifikasikan tidak mematuhi piawaian keselamatan bagi kegunaan di atas jalan raya.

“Tindakan ini juga bagi melengkapkan prosedur siasatan pelbagai kes kesalahan semasa dan rekod lampau pengendali motosikal seperti tiada insurans, tiada lesen memandu, ubah suai piawai keselamatan dan sebagainya.

“JPJ tidak merampas motosikal tetapi menyita bagi tujuan menghentikan kesalahan berulang dan berisiko tinggi bagi mengelakkan perkara tidak diingini iaitu menjurus kepada kecederaan parah atau kemalangan maut,” katanya kepada pemberita di Malim di sini malam tadi.

Terdahulu, beliau hadir pada Operasi Khas Motosikal yang turut disertai Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa (Seksyen Dasar) JPJ Dr Azmi Awang dan Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa (Seksyen Operasi) JPJ Mohd Azmi Jaafar.

Mengulas lanjut, Lokman berkata motosikal yang disita itu juga boleh dituntut pada bila-bila masa selepas dokumentasi dan kes kesalahan diselesaikan termasuk mempunyai perlindungan insurans sewajarnya.

Beliau berkata penguatkuasaan dalam operasi bagi tempoh hingga 30 Sept itu juga menggunakan pendekatan berkonsepkan pengauditan pematuhan selain mengukuhkan pembudayaan pematuhan undang-undang supaya sentiasa mengikut peraturan keselamatan jalan raya di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

“Sehingga kini juga, JPJ telah memeriksa sebanyak 140,544 motosikal dan hasil pemeriksaan audit pematuhan dalam tempoh operasi mulai 1 hingga 13 Sept, sejumlah 64,295 notis telah dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan.

“Sebanyak 46 peratus kesalahan dikesan iaitu membabitkan kegagalan mematuhi peraturan keselamatan jalan raya yang dilakukan oleh pengendali motosikal,” katanya.

Lokman berkata daripada jumlah itu, sebanyak 24,459 kes melibatkan tiada perlindungan insurans, tiada atau tamat lesen memandu (19,928 kes), tidak mematuhi lampu isyarat merah (4,061 kes), ubah suai ekstrem (2,676 kes) dan membonceng motosikal di bawah umur sebanyak 259 kes.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

855
Kongsi :
Previous post TMM2024: Gotong-Royong Perdana diadakan di Sungai Melaka Fasa 2 sejauh 5.2km
Next post Terminal kapal persiaran antarabangsa RM43 bilion dibina di Melaka
Ubah saiz-+=