Terminal kapal persiaran antarabangsa RM43 bilion dibina di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

AYER KEROH 14 September – Melaka bakal membina Terminal Kapal Persiaran Antarabangsa Melaka (MICT) yang akan diuruskan oleh KAJ Development Sdn Bhd (KAJD).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, projek bernilai RM43 bilion itu merupakan antara pembangunan projek mega Melaka Gateway yang telah diberi penjenamaan semula dan menerima sokongan daripada kerajaan.

Katanya, pembinaan projek terbabit akan dimulakan selepas pihak pemaju mendapat kebenaran daripada pihak Kementerian Pengangkutan (MOT) dan kelulusan membina dari Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

“Pembinaan projek ini akan dimulakan setelah pihak MOT memberi kebenaran untuk syarikat KAJD memulakan projek membina MICT.

“Pastinya projek ini telah mendapat persetujuan daripada operator-operator kapal layar pesisir mewah dengan nilai RM43 bilion.

“Pihak KAJD sedang menunggu kelulusan Kebenaran Merancang (KM) dari MBMB yang dijangka akan akan diluluskan sebelum hujung tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri September 2023 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.

Majlis tersebut dihadiri lebih 1,000 penjawat awam terdiri daripada pelbagai agensi dan anak syarikat Kerajaan Negeri.

Mengulas lanjut, Ab Rauf turut memaklumkan dengan pembinaan MICT tersebut, nilai pelaburan masuk ke Melaka turut meningkat.

“Kos pelaburan meningkat memandangkan faktor semasa, dan jumlah RM43 bilion ini adalah jumlah kasar yang dapat dijana pada projek MICT ini,” katanya.

Untuk rekod, media melaporkan pada 12 September lalu, KAJD mengeluarkan kenyataan pembangunan projek mega Melaka Gateway kembali diteruskan dengan nilai RM43 bilion.

Pengerusi Eksekutif KAJD, Datuk Daing A Malek Daing A Rahaman, berkata pembangunan infrastruktur Melaka Gateway diteruskan dengan pembinaan Terminal Kapal Persiaran Antarabangsa Melaka (MICT) sebagai satu-satunya jeti persiaran antarabangsa yang mempunyai hak operasi eksklusif daripada kerajaan Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4830
Kongsi :
Previous post JPJ sita 3,111 motosikal dalam Op Khas seluruh negara
Next post Karnival Islamik, Melaka Berselawat diadakan hujung tahun ini
Ubah saiz-+=