Sorting by

×

JPN Melaka datang rumah bantu warga emas lumpuh, uzur dapatkan MyKad baharu

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

DUYONG 9 Feb – “Saya sangka kad pengenalan dimiliki pada usia 12 tahun boleh digunakan sepanjang hayat. Masalah kad pengenalan menyebabkan hajat saya menunaikan haji di tanah suci terbantut.

“Kerana tidak menggantikan Mykad saya tidak dapat mengeluarkan wang simpanan Tabung Haji (TH). Selepas berurusan di TH beberapa bulan lalu barulah saya tahu saya tahu kepentingan MyKad,” kata warga emas Meriam Ahad, 74.

Lebih memeritkan, Meriam, 74, dari Permatang Duyong, lumpuh separuh badan akibat terbabit kemalangan jalan raya kira-kira 21 tahun lalu.

Namun kepayahan warga emas itu mendapat perhatian Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka yang tampil membantu Meriam, membuat MyKad baharu tanpa perlu ke pejabat jabatan itu.

Terdahulu Meriam, menerima kunjungan Penolong Pengarah JPN negeri, Nur Azri Aizat Abdul Rahim sempena program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Permatang Duyong, Nemat Jaafar.

Meriam yang terharu berkata, dia tidak lagi mempunyai kudrat untuk bergerak sendiri disebabkan lumpuh dan bergantung sepenuhnya kepada bantuan keluarga.

“Sebelum ini anak lelaki bawa saya ke pejabat JPN untuk mohon Mykad baharu, tapi berasa lega selepas dimaklumkan pegawai mereka akan datang ke rumah untuk memudahkan urusan itu.

“Alhamdulilah, hari ini pihak JPN datang dan bantu mak cik dapatkan MyKad, mereka kata mungkin dalam seminggu ini, siaplah MyKad mak cik,” katanya.

Turut teruja mendapat MyKad baharu melalui program Mekar JPN, Ramlah Mohamad, 80, dari Kampung Sungai Putat, Ayer Keroh.

PETUGAS Unit Mekar JPN Melaka membantu Ramlah membuat permohonan MyKad baharu sambil diperhati oleh Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh, Datuk Mohd Arif Yusa di rumah warga emas itu di Kampung Sungai Putat.

Menurut Ramlah, keprihatinan JPN bakal memudahkan urusan mengeluarkan wang pencen suaminya yang tertangguh sejak beberapa bulan lalu.

“Lega sangat, tidak perlu bersusah payah naik tangga ke pejabat JPN dan hari ini mereka datang bantu saya memohon MyKad baharu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1243
Kongsi :
Previous post UTeM penganjur bersama MTE Virtual 2022
Next post Bantuan banjir Keluarga Malaysia akan ditambah baik bantu PMKS terjejas – PM
Ubah saiz-+=