JPS kenal pasti beberapa kaedah atasi hakisan pantai

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

AYER KEROH 11 Sept. – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka sedang mengenal pasti beberapa kaedah bagi melakukan tindakan segera berhubung isu hakisan pantai yang berlaku di negeri ini.

Pengarahnya, Abd. Hakim Hamzah berkata, tindakan segera itu akan dilaksanakan pihaknya dan berkemungkinan penilaian berkenaan akan diputuskan dalam tempoh seminggu lagi.

Jelasnya, beberapa kaedah sedang direncanakan seperti menggunakan kaedah sistem tambakan pasir, ‘Geo Bag’, Groin, batu pemecah ombak atau sebagainya bagi membendung perkara terbabit.

“Tindakan yang diambil ini memerlukan beberapa peringkat tindakan kerana ia melibatkan kos yang tinggi dengan peruntukan dana daripada kerajaan negeri mahupun Persekutuan.

“Pelbagai kaedah yang perlu digunakan bagi mengatasi masalah hakisan ombak yang berlaku di Pantai Puteri, Pantai Pengkalan Balak dan Tanjung Dahan yang dilihat semakin serius namun pihak kami perlu melihat aspek lain seperti faktor penempatan penduduk, lokasi perikanan dan pelancongan disebabkan ia akan mendatangkan kesan lain sekiranya tidak diputuskan sewajarnya,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini, petang tadi.

Pada masa sama, Abd Hakim menjelaskan isu hakisan pantai yang berlaku di beberapa lokasi di Melaka disebabkan perubahan cuaca air pasang besar dan pergerakan angin dari selatan yang mengakibatkan pergerakan angin dominan berlaku di kawasan terbabit.

Bagaimanapun ujarnya, pergerakan angin barat dijangka akan berlaku sekitar bulan ini mahupun Oktober nanti berkemungkinan dapat mengurangkan hakisan yang berlaku disebabkan pergerakan angin normal.

“Hakisan pantai yang berlaku ini telah dijangka kerana setiap projek tambakan pasir kebiasaanya menyebabkan 1/3 dari tambakan terbabit akan terhakis disebabkan pergerakan air dan angin yang berlaku dalam tempoh tiga bulan selepas projek tambakan.

“Melalui rancangan sebelum ini JPS ingin melaksanakan tambakan menggunakan kaedah tambakan batu konkrit namun terpaksa ditukar kepada tambakan pasir disebabkan faktor lokasi perikanan yang menjalankan aktiviti melangai anak udang selain merupakan lokasi tarikan pelancongan rekreasi di kawasan terbabit.

“JPS memandang perkara ini merupakan perkara serius dan penilaian ini memerlukan tindakan sewajarnya dari kerajaan negeri mahupun persekutuan bagi memperuntukkan inisiatif terbabit dalam mengatasi isu yang berlaku di negeri ini,” katanya.

Views:

1404
Kongsi :
Previous post Pencemaran laut di Kuala Linggi, projek tambak pasir dihentikan
Next post COVID-19: Kes baharu melonjak 182, 181 penularan tempatan
Ubah saiz-+=