Pencemaran laut di Kuala Linggi, projek tambak pasir dihentikan

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

RIM, 11 Sept. – Projek penambakan pasir di Kuala Linggi dihentikan operasi buat sementara waktu susulan berlaku pencemaran laut di kawasan itu dua hari lalu sehingga menjejaskan pendapatan nelayan di kawasan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Melaka, Datuk Norhizam Hassan Baktee berkata Jabatan Perikanan negeri dimaklumkan mengenai perkara itu dan tindakan sudah diambil untuk menutup operasi penambakan pasir berkenaan.

Katanya, tindakan untuk menutup operasi itu di bawah bidang kuasa Bahagian Kawal Selia Air (BKSA) selepas pelbagai aduan diterima termasuk dalam kalangan nelayan mengenai pencemaran laut di kawasan itu.

“Setakat ini operasi itu ditutup dahulu untuk dikaji selidik sekiranya terbukti pencemaran laut di kawasan itu disebabkan kegiatan penambakan pasir.

“Sekiranya terbukti, mereka akan dikenakan denda,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Hari Peladang dan Majlis Penyerahan Bantuan Peruntukan Tahun 2020 peringkat daerah Jasin di Dewan Alamanda, di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Malaysia, Eliyas Saad.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menerima maklumat mengenai pencemaran laut yang dipercayai disebabkan sisa arang batu oleh kapal berkenaan yang melalui di perairan laut kawasan Tanjung Beruas.

“Kita akan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan terhadap perkara itu termasuk turun ke laut untuk kenal pasti keadaan sebenar mengenai pencemaran laut itu.

“Masalah pencemaran akibat sisa arang batu seringkali berlaku dan perkara ini telah saya tegaskan pada kerajaan terdahulu supaya tidak membenarkan kapal arang batu melalui perairan negeri

“Melaka tidak menggunakan arang batu sebaliknya yang menggunakan arang batu adalah kilang simen di Bahau, bagaimanapun saya akan bangkitkan masalah itu pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) jika ada keperluan,” katanya

Views:

458
Kongsi :
Previous post Wanita dihadapkan ke mahkamah cuba bunuh rakan lelaki
Next post JPS kenal pasti beberapa kaedah atasi hakisan pantai
Ubah saiz-+=