Jualan atas talian kaedah terbaik buat peniaga kecil sepanjang PKP 2.0

Masa Membaca:2 Minit, 2 Saat

BANDA HILIR 14 Jan. – Jualan atas talian dilihat alternatif terbaik dipraktikkan golongan peniaga di negeri ini termasuk kraftangan dan makanan tradisi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Ini bagi memastikan kesinambungan perniagaan mereka berterusan di sebalik kekangan tidak dapat berniaga secara bersemuka dengan pelanggan.

Peniaga barangan kraftangan dan makanan tradisi di Pasar Pahlawan Walk, Nawawi Mahmod, 28, berkata, dia menggunakan kaedah jualan atas talian bagi memastikan barangan terutama produk makanan tradisinya habis terjual sebelum tarikh luput.

Nawawi yang hampir tujuh tahun berniaga di di situ berkata, selain jualan atas talian dia akan memasarkan produk terbabit kepada rakannya bagi memastikan ia laris dijual dalam tempoh dua minggu ini.

“Bila diarahkan tutup operasi ia memang beri kesan buat peniaga seperti kami, tapi kita perlu cari jalan lain demi menyara kehidupan yang diumpamakan bila kerja ada gaji, bila tak kerja terpaksa ‘menggigit jari’.

“Saya terpaksa habiskan setiap produk makanan antaranya kerepek dan dodol dalam tempoh dua minggu ini bagi mengelakkan ia luput.

“70 peratus barang perniagaan saya adalah produk makanan tradisi dan selebihnya adalah barangan kraftangan,” katanya.

NAWAWI membungkus produk makanan tradisional yang dijualnya untuk dibawa pulang dan dijual secara atas talian bagi mengelak kerugian.

Menurutnya, dia tetap akur dengan keputusan kerajaan bagi pelaksanaan PKP 2.0 demi mencegah penularan dan memutuskan rantaian COVID-19.

Pada masa sama, Nawawi berharap kerajaan negeri merencana inisiatif lain bagi membantu peniaga sepertinya.

“Kita harap kerajaan negeri bekerjasama bersama pengurusan bangunan ini bagi memberi potongan sewa kepada kami dalam tempoh ini disebabkan pendapatan terjejas akibat tidak dapat berniaga,” katanya.

Tinjauan Melaka Hari Ini ke lokasi pusat pelancongan negeri mendapati tiada sebarang operasi membabitkan jualan kraftangan dalam kawasan terbabit.

Malah, hanya beberapa premis perniagaan dibuka dengan peniaga mengisi masa terluang bagi mengemas kedai dan membungkus setiap jualan untuk dibawa pulang bagi jualan atas talian.

Tinjauan juga mendapati Medan Selera dan Kraftangan Samudera terletak dalam kawasan mercu pelancongan itu lengang dan tidak beroperasi menjadikan kawasan terbabit semakin menyepi.

Seorang peniaga yang ingin dikenali sebagai Rozila berkata, dia akur dengan arahan kerajaan namun mencadangkan setiap arahan buat peniaga mana-mana sektor diperincikan agar tidak menimbulkan kekeliruan.

“Dalam tempoh yang agak mengejutkan ini kerajaan terutama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) perlu keluarkan garis panduan dan saranan baharu tentang apa yang perlu dilaksanakan kerana ramai peniaga lain keliru dengan arahan yang dikeluarkan kerajaan.

“MITI juga perlu cari kaedah lain demi membantu peniaga yang terkesan seperti kami,” katanya.

Views:

1217
Kongsi :
Previous post Perdana Menteri ucap Selamat Hari Ponggal kepada masyarakat India
Next post Azman Adam dilantik Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP baharu
Ubah saiz-+=