Jualan Rahmah Melaka catat hasil jualan RM1.2 juta

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

AYER KEROH 20 Julai – Jualan Rahmah di Melaka merekodkan hasil jualan keseluruhannya berjumlah RM1.2 juta sejak April lalu.

Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Tuminah Kadi @ Mohd Hashim berkata, jumlah itu menunjukkan sambutan menggalakkan daripada orang ramai yang mahu mendapatkan barangan keperluan asas pada harga murah.

Katanya, diskaun harga yang ditawarkan bukan sahaja meringankan beban golongan kurang berkemampuan bahkan dapat membantu masyarakat terutama di kawasan luar bandar mendapatkan barangan keperluan yang mungkin tiada di lokasi kediaman mereka.

“Penganjuran Jualan Rahmah ini dapat dilihat memberi kesan yang positif dalam usaha untuk mengimbangi kenaikan kos sara hidup masyarakat Malaysia.

“Ini dapat dilihat melalui jumlah keseluruhan pengunjung iaitu 90,000 orang dan rekod jualan di Negeri Melaka yang mencecah hampir RM1.2 juta dari bulan April sehingga kini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Melaka Hari Ini selepas merasmikan majlis penutup Pertandingan Cabaran Interaktif Pengguna Kelab Pengguna Sekolah (CIP KPS) peringkat Negeri Melaka di Usima Forest Resort, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Melaka, Norena Jaafar dan Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri, Jamsari Mariman.

Menurut Tuminah, susulan sambutan menggalakkan daripada orang ramai, program Jualan Rahmah telah dinaik taraf menjadi Jualan Rahmah Bergerak yang diuruskan sendiri KPDN Melaka.

“Setakat ini, kita sudah bergerak di lima lokasi dan yang terakhir di Pokok Mangga serta Pantai Puteri.

“Kita akan fokus menggerakkan Jualan Rahmah Bergerak ini ke lokasi pedalaman dan mampu bergerak di dua lokasi berbeza dalam satu hari, contohnya KPDN Melaka tetapkan mulakan jualan di lokasi pertama seawal 7 pagi hingga 12.30 tengah hari sebelum ke lokasi kedua pada jam 2 petang hingga 7 malam.

“Jika di premis Jualan Rahmah, harga diskaun ditawarkan antara 15 hingga 30 peratus manakala harga diskaun ditawarkan bagi Jualan Rahmah Bergerak, barangan keperluan asas itu adalah sebanyak 30 peratus.

Sementara itu, Norena memaklumkan, setakat lima Jualan Rahmah Bergerak yang diadakan semua barangan yang dibawa habis terjual.

“Jika orang ramai mahu mendapatkan maklumat lokasi terkini Jualan Rahmah Bergerak boleh melihat laman sosial KPDN Melaka sama ada di Facebook dan juga TikTok,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1471
Kongsi :
Previous post Pupuk hubungan harmoni pekerja, majikan
Next post Cabaran lahirkan tenaga kerja mahir menjelang 2030
Ubah saiz-+=