Cabaran lahirkan tenaga kerja mahir menjelang 2030

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 20 Julai – Hampir 300,000 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak berminat menyambung pelajaran dilihat boleh menjejaskan hasrat kerajaan melahirkan tenaga kerja mahir melebihi 35 peratus menjelang tahun 2030.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud berkata, isu tersebut dilihat membimbangkan yang mana pengaruh ekonomi gig terhadap remaja menjadi cabaran terbesar buat kerajaan.

Katanya, tren itu dikhuatiri merencatkan usaha kerajaan untuk bergerak sebagai sebuah negara maju di mana dasar melahirkan tenaga kerja mahir akan berkurang dalam tempoh tujuh tahun.

“Ketika ini tenaga kerja mahir yang dihasilkan dalam negara berada pada tahap 28 peratus dan sekiranya Malaysia mahu menjadi negara maju ia perlu melebihi 35 peratus.

“Unjuran 300,000 pelajar lepasan SPM yang tidak mahu menyambung pelajaran sememangnya membimbangkan dan kita bimbang tidak dapat mencapai tenaga mahir cukup untuk menjadi negara maju.

“Tren ini meresahkan apabila anak-anak muda lebih berminat untuk bekerja tanpa memikirkan kesan dalam jangka masa panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Simposium Keharmonian Perusahaan Zon Selatan Tahun 2023, di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mustapha berkata mekanisme yang dilakukan kerajaan bagi mengatasi isu tersebut dengan bekerjasama dengan pihak kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta mempromosi Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET).

“Kerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi peringkat sekolah serta ibu bapa diperlukan untuk memberi kesedaran kepada remaja.

“Mereka perlu memiliki sijil kemahiran, diploma atau ijazah kerana itulah yang kekal dan mampu untuk meningkatkan taraf hidup dalam jangka masa panjang kerana ia berbeza dengan gig ekonomi yang dipacu teknologi digital.

“Sebab itu kita promosikan TVET, ambil kursus modular atau jangka pendek. Mereka boleh terus bekerja asalkan tidak terputus pendidikan,” jelasnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

974
Kongsi :
Previous post Jualan Rahmah Melaka catat hasil jualan RM1.2 juta
Next post Melaka bakal wujudkan Institut Dondang Sayang
Ubah saiz-+=