K-KOMM teliti memorandum pemuda UMNO behubung pelaksanaan 5G – Annuar
KUALA LUMPUR, 22 Jun – Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) sudah meneliti kandungan memorandum yang dikemukakan Pergerakan Pemuda UMNO berhubung pelaksanaan Projek 5G Kebangsaan oleh Digital Nasional Berhad (DNB).
Menterinya (MenKomm) Tan Sri Annuar Musa berkata antara perkara yang dibangkitkan dalam memorandum tersebut termasuklah kos sebenar mengikut pecahan tahunan, peralatan dan kos operasi rangkaian 5G negara serta penjelasan terperinci harga jualan secara pukal kepada syarikat telekomunikasi.
“Sehubungan itu, K-KOMM akan membantu memanjangkan salinan memorandum ini kepada Kementerian Kewangan memandangkan kebanyakan perkara yang terkandung dalam memorandum tersebut bukan di bawah bidang kuasa K-KOMM,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Annuar berkata K-KOMM juga mengatur majlis bagi memberikan penjelasan lanjut untuk membantu pihak yang masih tidak jelas berhubung perkara berkaitan terutama yang berada di bawah bidang kuasa kementerian itu.
Katanya, pada masa ini DNB adalah syarikat milik penuh kerajaan yang diletakkan di bawah kawalan dan seliaan Kementerian Kewangan.
“Langkah sedang diambil oleh Kementerian Kewangan untuk menyusun semula struktur pemilikan ekuiti syarikat dan kaedah kawal selia syarikat selaras dengan keputusan terbaharu Jemaah Menteri mengenai perkara berkenaan,”katanya.
Semalam, dilaporkan Exco Pemuda UMNO Fairuz Jamaludin yang juga Pengerusi Sekretariat Pekerja Pemuda UMNO, mewakili sayap itu menyerahkan memorandum berkenaan kepada Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.