Kadar kitar semula meningkat 33.17 peratus

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

ARAU, 4 Dis –  Kadar kitar semula kebangsaan pada tahun 2022 meningkat kepada 33.17 peratus dengan jumlah barangan kitar semula mencecah 4.626 juta tan.

Pengerusi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Datuk Rizalman Datuk Mokhtar berkata kadar peningkatan tersebut selari dengan sasaran kadar kitar semula yang ditetapkan di dalam Rancangan Malaysia Ke-12 iaitu sebanyak 40 peratus  menjelang tahun 2025.

“Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang merangka dasar pengurusan pepejal ke arah ekonomi kitaran yang menekankan amalan ‘Penggunaan dan Produksi Mampan’.

“Ke arah pengurusan sisa pepejal yang lebih cekap, yang dapat mengurangkan kos pengurusan sisa pepejal yang semakin meningkat, malah dapat mengurangkan impak negatif kepada sosial dan alam sekitar,” katanya ketika berucap Majlis Apresiasi Keluarga 3R Sempena Hari Kitar Semula Kebangsaan (HKSK) 2022 malam tadi.

Rizalman berkata KPKT juga kini dalam proses membangunkan Rangka Kerja Pelaksanaan EPR Sisa Pepejal di Malaysia, untuk mengenakan tanggungjawab kepada pegeluar bagi produk yang dihasilkan sehingga peringkat pasca pengguna.

Beliau berkata EPR merupakan pendekatan dasar yang meletakkan tanggungjawab kepada pengeluar untuk merawat dan melupuskan produk yang telah diguna melalui tindakan kendiri atau sumbangan kewangan.

“Pelaksanaan EPR bukan sahaja dapat mengurangkan beban kewangan kerajaan dalam menguruskan sisa pepejal, tetapi juga akan mendorong pengeluar mengurangkan sisa di punca dan menggalakkan pengeluaran produk mesra alam,” katanya.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2319
Kongsi :
Previous post Pelantikan Ahmad Zahid dibuat berdasarkan hierarki parti – Ahmad Maslan
Next post 1,429 graduan PMM terima diploma
Ubah saiz-+=