Kafe terapi kucing

Masa Membaca:2 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 3 Jun – Melayan dan menyaksikan ragam si bulus menjadi tarikan utama bagi pelanggan yang singgah untuk mengisi perut di kafe Cat Walk Studio.

Disambut si bulus comel sejurus melangkah masuk ke ruang makan, pastinya menambahkan lagi perasaan teruja untuk meluangkan masa lebih lama di kafe berkenaan.

Bagi mereka yang ingin mencari ketenangan, kafe ini antara lokasi sesuai untuk anda kerana, kucing adalah antara haiwan boleh membantu atau menjadi terapi untuk mengurangkan tekanan.

Pemilik kafe, Muhammad Ariff Abd Ghani, 38, berkata idea untuk membuka kafe kucing itu didorong minatnya terhadap haiwan berkenaan yang bermula sejak kecil lagi.

WhatsApp Image 2023-06-02 at 4.42.47 PM
MUHAMMAD Ariff memastikan kucing di kafe miliknya sentiasa dalam keadaan sihat dan comel.

Ketika mula terbabit dalam perniagaan pada 2014 Muhammad Ariff, hanya menjual barangan haiwan peliharaan, perkhidmatan, hotel kucing dan ‘pet grooming’ (dandanan haiwan).

Namun pada 2016 dia yang merancang untuk mengembangkan lagi perniagaan menambah segmen kafe dan ‘petting zoo’ (zoo peliharaan).

“Pengalaman kerja saya adalah dalam bidang rekaan dalaman, namun minat terhadap kucing mendorong saya untuk buka kafe ini.

“Mengendalikan kucing bukan senang, bermacam ragam. Tetapi sebagai peminat kucing kita perlu pandai membaca emosi dan psikologi haiwan comel ini berdasarkan gerak badan selain perangainya,” katanya ketika ditemui di kafenya, di sini, semalam.

WhatsApp Image 2023-06-02 at 4.42.03 PM
CAT Walk Studio ‘port’ makan dan santai bersama si bulus.

Ditanya mengenai penerimaan pelanggan, Muhammad Ariff berkata, sambutan amat menggalakkan khusus dalam kalangan peminat kucing.

Jelasnya, kafe berkenaan juga memberikan peluang kepada individu yang menghidap masalah kesihatan atau kekangan lain untuk membela kucing di rumah.

“Ramai yang suka kucing tetapi kekangan seperti anak menghidap asma dan ahli keluarga tidak selesa dengan kucing, menyebabkan mereka tidak boleh pelihara si bulus di rumah.

“Jadi kafe ini adalah tempat untuk mereka membelai si bulus. Kucing di kafe ini dijaga agar sentiasa dalam keadaan sihat dan comel,” katanya.

WhatsApp Image 2023-06-02 at 4.42.03 PM (1)
PELANGGAN Fatihah Mohd Zain memberi makan kepada kucing.

Katanya, kafe berkenaan menggunakan khidmat 20 ekor kucing pelbagai baka seperti domestic long hair, persian exotic short hair, maine coon, munchkin, British short hair dan kucing kampung untuk ‘melayan’ pelanggan.

“Semua kucing ini ada perangan tersendiri, pelanggan boleh sentuh dan peluk anak bulus yang mana mereka suka. Ramai pelanggan suka kucing bersaiz besar dan gebu seperti ‘meri’ (kucing) yang mencecah berat hingga 10 kilogram.

“Aspek kebersihan dan bau juga saya beri penekanan, keselesaan pelanggan serta kucing sama-sama dijaga. Biarlah pelanggan datang dan habiskan masa di kafe ini berpuas hati,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2585
Kongsi :
Previous post MPAG, PBT Korea Selatan berkongsi idea pembangunan
Next post Sembilan lagi PEDi diwujudkan di Melaka
Ubah saiz-+=