Kaji swastakan kemudahan sukan

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

SERI NEGERI 2 Ogos – Penswastaan dilihat antara kaedah mampu mengatasi atau mengelakkan kemudahan sukan tidak boleh digunakan akibat tiada atau kurangnya penyelenggaraan.

Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, VP Shanmugam berkata, cadangan itu bukan bertujuan untuk mencari keuntungan, sebaliknya memastikan segala kemudahan sukan sedia ada sentiasa berada dalam keadaan baik dan boleh digunakan pada bila-bila masa.

Shanmugam berkata, kemudahan sukan berkualiti juga mampu menarik minat negeri lain untuk menganjurkan kejohanan atau sebarang aktiviti di Melaka yang akhirnya memberi manfaat kepada masyarakat tempatan.

“Bagaimanapun cadangan ini perlu mendapat kelulusan Ketua Menteri, sebelum ia diputuskan dan diswastakan. Saya berpendapat penswastaan ini mungkin membabitkan padang bola sepak, padang futsal, gelanggang takraw atau lain-lain kemudahan yang dibina kerajaan.

“Namun ia bergantung kepada kehendak dan keperluan, apabila ada baharu kita swastakan, tetapi belum muktamad, saya akan berikan cadangan kepada Ketua Menteri dan beliau akan putuskan yang terbaik untuk Negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Persidangan Kedua, Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas di Bilik Tun Muktahir, di sini, hari ini.

Ujarnya, terdapat beberapa fasiliti telahpun diserahkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pejabat daerah.

“Contoh di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek, saya meminta kilang Honda di sana untuk membina sebuah dewan serbaguna yang boleh menampung 2,000 tetamu, kemudahan itu turut dilengkapi fasiliti sukan.

“Kita sudah kenal pasti tapak, tapi masih menunggu keputusan daripada Honda Malaysia. Begitu juga di kawasan lain bukan DUN Gadek sahaja, Saya minta beberapa syarikat untuk membantu menaik taraf fasiliti gelanggang takraw, futsal dan lain-lain.

“Jika ada syarikat yang berminat menguruskan dan menjaga fasiliti sukan ini kita sangat mengalu-alukan, tetapi dengan syarat apabila kerajaan mahu gunakan mereka kena bagi percuma,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

674
Kongsi :
Previous post MAIM peruntuk RM309,427 untuk DUN Pantai Kundor
Next post Sukan Piala Ketua Menteri: Sasar satu kampung, satu pasukan
Ubah saiz-+=