Kajian menyeluruh projek rintis JKMPay selepas setahun pelaksanaan – Rina
KUALA LUMPUR, 3 Mac – Kajian menyeluruh mengenai hala tuju dan keberkesanan Projek Rintis Pembayaran Bantuan Bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Tanpa Tunai atau JKMPay akan dibuat selepas setahun pelaksanaannya.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun memberitahu Dewan Rakyat hari ini, projek rintis yang dilaksanakan bermula Februari 2021 ini hanya melibatkan Kedah, Perlis, Melaka, Terengganu, Kelantan dan Selangor serta pelaksanaan JKMPay di negeri lain akan ditangguhkan sehingga laporan kajian berkenaan dibentangkan.
“Projek ini projek rintis, satu kajian (keberkesanan) akan dibuat. Kita sudah buat kajian sebelum ini (selepas enam bulan pelaksanaan JKMPay) bagaimana untuk menambah baik setiap program ini sebelum dilaksanakan.
“Kita juga buat konsultasi dengan penerima-penerima (terlibat projek rintis JKMPay) termasuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU)… projek rintis ini masih ada lagi ruang untuk penambahbaikan, nama pun projek rintis belum lagi dijadikan dasar dan polisi,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri persidangan Dewan Rakyat di sini.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan P. Kasthuriraani (PH-Batu Kawan) yang bertanyakan sama ada wujud konsultasi dengan golongan OKU berhubung JKMPay dan status pelaksanaan program ini.
Berdasarkan kajian melibatkan 1,066 peserta JKMPay yang dikeluarkan pada Oktober 2021, Rina berkata sebanyak 76 peratus bersetuju kaedah tanpa tunai memudahkan, 80 peratus bersetuju kaedah tanpa tunai lebih selamat berbanding tunai dan 80 peratus menyatakan kawalan perbelanjaan lebih baik melalui kaedah tanpa tunai.
Beliau berkata JKMPay antara lain bertujuan membantu penerima untuk mengurus dan mengawal pembelanjaan wang bantuan secara berhemah serta memastikan penerima memenuhi keperluan asas harian.
Sementara itu pada sesi soal jawab lisan, Rina mengakui ada menerima aduan mengenai salah guna bantuan JKM.
Sistem bayaran elektronik JKMPay itu bukan sahaja digunakan oleh golongan OKU tetapi juga penerima bantuan di bawah JKM, katanya semasa menjawab soalan tambahan Datuk Seri Salim Sharif (BN-Jempol) yang ingin tahu sama ada terdapat salah guna bantuan dan memohon statistik penyalahgunaan sistem itu.
“Elaun bantuan JKM ini telah dinaikkan pada tahun lepas seperti contoh pesakit terlantar elaun bulanan RM350 dinaikkan ke RM500 dan tujuan kenaikan ini adalah untuk membantu mereka mendapatkan barangan keperluan asas (barangan harian dan ubat-ubatan).
“Kita inginkan agar bantuan ini digunakan dengan sebaik-baiknya, jadi yang kita sekat adalah pembelian rokok dan juga arak sekali gus untuk menjaga kebajikan mereka (penerima bantuan),” katanya.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.