Suzana, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UiTM yang baharu

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

SHAH ALAM 3 Mac – Profesor Kanan Fakulti Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Datin Dr Suzana Sulaiman dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UiTM yang baharu berkuatkuasa 1 Mac lalu.

Menerusi satu kenyataan, Suzana memegang jawatan itu menggantikan Profesor Datuk Dr Roziah Mohd Janor yang dilantik sebagai Naib Canselor UiTM.

Kata kenyataan itu, Suzana adalah seorang ahli akademik yang memilik akreditasi profesional serta berkredibiliti dalam bidangnya selain bergiat aktif dalam penyelidikan serta konsultasi.

“Beliau juga seorang ahli majlis Malaysia Institute of Accountants MIA dan ahli Lembaga Penyelidikan Chartered Institute of Management Accountants (CIMA) UK serta ahli akademik yang pertama dilantik dari Asia,” katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan, pencapaian terbaik Suzana adalah menerima dua anugerah iaitu ‘Outstanding Contribution in Malaysia’ dan ‘Regional Champion (Asia Pacific) CIMA Course Teaching’ daripada CIMA UK Research Excellence Award 2021.

“Suzana memulakan pengajiannya dengan Diploma Perakaunan dari ITM (sebelum menjadi UiTM) sebelum melanjutkan pengajiannya ke CIMA, London United Kingdom.

“Beliau berkhidmat sebagai pensyarah UiTM pada tahun 1991 selepas dianugerahkan Master in Accountancy (with Distinction) dari Curtin University of Technology, Perth, Australia dan meneruskan pengajian ke peringkat PhD di Universiti Edinburgh, Scotland England dalam bidang pengkhususan Pengurusan Perakaunan,” katanya.

Suzana memiliki pengalaman lebih 30 tahun dan memegang beberapa jawatan termasuk Penolong Naib Canselor di Institut Kepimpinan & Pengurusan Kualiti (iLQAM) serta PNC Institut Kualiti & Perkembangan Ilmu (InQKA); Ketua Pusat Penyelidikan Perakaunan Pengurusan Asia (AMARC) dan Timbalan Dekan (Akademik), Institut Penyelidikan Perakaunan (ARI).

“Beliau adalah seorang akauntan bertauliah dari Fellow Chartered Management Accountant (FCMA), UK, ahli Chartered Global Management Accountant (CGMA) dan Chartered Accountant (CA), MIA,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Roziah melahirkan penghargaan terima kasih kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di atas pelantikan Suzana dan percaya kredibiliti profesor kanan itu mampu memerkasa agenda akademik UiTM.

“Saya percaya beliau dapat membantu pihak universiti dalam meningkatkan dan memperkasa agenda akademik dan antarabangsa melalui penyelidikan, inovasi, melebar luas jaringan industri, komuniti dan alumni sejajar dengan hasrat dan matlamat pelan strategik UiTM dalam mencapai visi bersama ke arah GRU 2025,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2754
Kongsi :
Previous post 160 ‘projek sakit’: 92 dalam tindakan ICU, 41 berjaya dipulihkan – Mustapa Mohamed
Next post Kajian menyeluruh projek rintis JKMPay selepas setahun pelaksanaan – Rina
Ubah saiz-+=