Kajian pastikan kesahihan lokasi Makam Tok Langgar

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

SUNGAI RAMBAI 21 September – Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) sedang menjalankan kajian bagi menentukan kesahihan keberadaan sebenar Makam Tok Langgar atau nama sebenarnya Raja Mohamad Said.

Pengerusi Perzim Datuk Zaidi Attan berkata, kajian itu dijalankan susulan perselisihan pendapat yang mengatakan Makam Tok Langgar berada di dua lokasi iaitu Serkam dan Sungai Rambai, hingga menimbulkan pertikaian.

“Sejarah ini bukan boleh cakap begitu sahaja ia perlu dibuktikan melalui kajian. Sejarah perlu diwariskan ke generasi seterusnya jadi kita akan lakukan kajian untuk mengetahui lokasi sebenar Makam Tok Langgar ini.

“Berdasarkan kajian awal batu nisan Makam Tok Langgar di Sungai Rambai adalah dari abad ke-18 hingga 19. Sementara itu lokasi di Serkam pula adalah nisan abad ke-19. Suatu ketika dulu penentuan seseorang itu sudah meninggal dunia bergantung kepada nisannya,” katanya.

Terdahulu beliau yang juga Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, bersama Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Perzim dan waris keturunan Tok Langgar melawat ke makam terbabit di Sungai Rambai.

Zaidi berkata, kajian akan membabitkan beberapa kaedah termasuk mengambil kira kronologi kehidupan Tok Langgar, salasilah keturunan dan pembabitannya dalam perang.

“Semua ini kita lihat satu persatu, termasuklah kronologi sejarahnya iaitu tahun berapa bapa dan anaknya dilahirkan. Kita juga merujuk semua dokumen penulisan berkaitan Tok Langgar dan perang membabitkannya, berdasarkan semua perincian ini kita akan dapat akhirnya beliau di mana.

“Perkara ini akan diambil kira dalam usaha menyakinkan akhir hayat Tok Langgar dan lokasi jasadnya dimakamkan kerana di kedua-dua lokasi iaitu Serkam serta Sungai Rambai Tok Langgar mempunyai anak.

“Namun setakat ini berdasarkan kepada bandingan nisan dibuat saya dimaklumkan oleh pegawai Perzim bahawa kelebihan untuk ditafsirkan berada di Sungai Rambai,” katanya.

Mengulas lanjut, Zaidi berkata kajian ini pastinya akan mengambil masa kerana ia bukan sahaja membabitkan sejarah Melaka sahaja sebaliknya jurai-jurainya membabitkan seluruh Nusantara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2116
Kongsi :
Previous post MPAG lahirkan pelajar sekolah celik ancaman ICT
Next post Banjir: 7 keluarga masih ditempatkan di PPS
Ubah saiz-+=